SAPP ragu RCI ditubuhkan
KOTA
KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) pada Jumaat menyatakan keraguannya bahawa
Kerajaan Persekutuan akan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai
pendatang tanpa izin di Sabah.
Ketua Penerangannya, Chong Pit Fah, berkata tidak ada petunjuk bahawa Kerajaan
Persekutuan akan menubuhkan RCI itu meskipun menerima tekanan daripada banyak
pihak di sini, termasuk SAPP.
Katanya, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) Sabah seperti PBS, Upko dan
LDP cuba menjuarai isu itu dengan membuat pelbagai kenyataan termasuklah
mengesahkan bahawa RCI akan ditubuhkan.
"Bagaimanapun, PBS, Upko dan LDP merasa malu apabila Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak tidak membuat sebarang pengumuman mengenai perkara itu ketika
lawatannya ke Sabah, baru-baru ini," katanya.
Chong berkata itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan Persekutuan tidak jujur
untuk menyelesaikan masalah pendatang tanpa izin yang sudah lama berlarutan di
sini.
Bagaimanapun, katanya SAPP akan terus berjuang untuk penubuhan RCI itu untuk
membolehkan masalah pendatang tanpa izin di Sabah diselesaikan.
|