SAPP janji beri perkhidmatan yang baik untuk rakyat
TENOM:
Naib Ketua Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Pusat Rudy Sulaiman Mairi
menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebuah kerajaan yang tidak lagi
relevan untuk mentadbir dinegeri ini kerana terlalu banyak masalah yang tidak
mampu diselesaikannya antaranya seperti isu PTI, isu pemberian MyKad dan
kerakyatan songsang kepada warga asing serta masalah NCR.
Beliau berkata, mereka (pemimpin BN) tidak ada jalan lain untuk menjawab
persoalan rakyat apabila ditanya masalah tersebut selain menabur janji janji
kosong terutamanya penubuhan RCI tetapi sehingga sekarang tiada tanda tanda
ianya akan dilaksanakan.
"Kita mahu mereka menjawab dengan lebih yakin serta konsisten dalam satu satu
isu penting kepada rakyat dan bukannya janji janji kosong," kata beliau ketika
majlis perjumpaan penduduk Kg Batu 90-Simpangan yang dihadiri kira kira seratus
orang pada Jumaat.
Majlis tersebut merupakan aktiviti bulanan anjuran Pergerakan Pemuda SAPP CLC
Melalap yang turut dihadiri Naib Ketua Pemuda CLC Melalap Roger Stimin, Gembala
Railit (Pengerusi Penganjur), Majiadih O.T. Matalih, Malalap Tingkayu dan
beberapa pemimpin tempatan SAPP.
Tegas Rudy, beliau mengambil beberapa contoh terdekat kelemahan dan taktik kotor
pemimpin BN dimana ketika kempen pilihanraya umum kali ke-12 (tahun 2008) mereka
menabur pelbagai janji antaranya pembinaan pekan kecil Melalap, beberapa
bangunan agensi kerajaan termasuk sebuah sekolah menengah tetapi sehingga
sekarang janji janji tersebut tidak kelihatan ditunaikan.
Beliau menambah, yang terbaru lagi, Adun Melalap Datuk Radin Malleh mengumumkan
peruntukkan RM15 juta untuk pembinaan sebuah jambatan di Pusat Kebudayaan Murut
Pulong untuk menghubungkan antara pusat itu ke Taman Pertanian Sabah di Lagud
Seberang.
Tambahnya, anehnya pembangunan itu sudah diumumkan beberapa tahun lalu sebelum
ini tetapi tidak menjadi kenyataan namun setelah beberapa lama janji itu hampir
dilupuskan kini menjelang PRU13 secara tiba tiba janji itu menjelma semula
seolah olah ianya dikitar semula untuk dijadikan tarikan bagi menawan semula
hati rakyat.
Dalam pada itu, Rudy turut mempertikai talian hayat sebuah kontraktor yang
dilantik kerajaan untuk menjalankan tanggung jawab penyelenggaraan jalan jalan
kampong walaupun telah dikritik hebat oleh penduduk kampong kerana prestasi
merosot tetapi kerajaan tidak menamatkan kontraknya.
"Saya tidak mahu menyalahkan konraktor itu berseorangan dalam kelemahan itu
tetapi kerajaan juga turut terlibat sama kerana masih menggunakan khidmatnya
walaupun prestasinya amat merosot. (Jadi)...rakyat yang menjadi mangsa diatas
lakonan dan sandiwara kontraktor dengan kerajaan," tegas Rudy.
"Sampai bila rakyat boleh bertahan dengan pelbagai karenah kerajaan dimana hasil
keburukkan dan kepincangan mereka rakyat pula yang menanggung derita," tambah
Rudy.
Rudy seterusnya berkata, SAPP yang merupakan sebuah parti tempatan telah
menyedari hakikat yang sebenarnya punca permasalahan itu dan langkah
mengatasinya dimana parti itu telah merangka beberapa strategi dan perancangan
untuk menambahbaik perkhidmatan kepada rakyat dengan lebih cekap dan efysien
iaitu sebaik baik sahaja SAPP menerajui kerajaan selepas PRU13.
"Kita bukan bercakap kosong atau keterlaluan tetapi beri kami mandat dalam
pilihanraya ke-13 supaya kamu berpeluang melihat sendiri prestasi kerajaan yang
bakal diterajui SAPP....ini bukan kata kata rethorik atau pujukan kerana
pilihanraya sudah dekat, tetapi percayalah kami akan buktikan," tegas Rudy.
Oleh: Mail Mathew
|