Jangan menyalahkan penduduk tentang masalah sampah sarap
Oleh
Kassim Busok
Deklarasi yang di keluarkan oleh Datuk Mayor berkenaan situasi sampah sarap di
Kg. Sembulan menggambarkan keadaan yang terlalu aib walaupun cadangan pemulihan
yang dirancangkan tidak akan memberi kemanfaatan kepada penduduk tempatan.
Sejak beberapa tahun ini, tiga orang Mayor telah membuat lawatan ke kawasan ini,
menghayati perkara yang sama dan melahirkan pandangan dan unsur penyelesaian,
tetapi malangnya, semua ini hanya merupakan manis dibibir sahaja dan publisiti
murahan.
Boleh kata semua Mayor dan Wakil Rakyat kawasan ini hanya tahu menyalahkan
penduduk-penduduk di sini bersabit dengan masalah sampah sarap.
Sebagai penduduk asal yang sudah tinggal lebih kurang 50 tahun di sembulan ini,
saya agak kesal dengan cara Mayor dan Wakil Rakyat yang sudah tiga penggal, YB
Datuk Edward Yong, yang menggambarkan Kg. Sembulan sebagai pesakit tenat tanpa
menyedari tanggungjawab pihak
berkuasa terhadap penghidupan penduduk, jambatan-jambatan usang dan masalah
sosial dikawasan tersebut.
Ya situasi telah menjadi begitu rumit dan serius, penduduk setempat dan
pemilik-pemilik tanah telah menjadi mangsa dari segi kesihatan, kejatuhan harga
hartanah terancam pula dengan kehadiran pendatang haram yang menggugat keadaan
keselamatan dan menimbulkan masalah
sosial.
Saya juga merasa kesal bahawa kita memiliki seorang Wakil Rakyat yang sudah tiga
penggal berkhidmat dan menyandang jawatan Pembantu Menteri di Kementerian
Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah mengabaikan masalah yang tidak pernah
selesai bertahun tahun dibawah batang
hidungnya sendiri.
Masih melambak masalah-masalah terdapat keseluruhan kawasan Tg. Aru.
Lawatan beliau baru-baru ini hanya untuk mengingatkan kita bahawa pilihanraya ke
13 sudah menjelang tiba, kalau tidak susahlah untuk melihat wajah beliau.
Kita tidak punya harapan untuk melihat situasi akan menjadi baik, melainkan
Kerajaan Negeri memiliki ‘political will” yang mencukupi dan cara penyampaian
yang telus yang tidak pernah mereka lakukan sejak beberapa tahun ini.
Kassim Busok adalah pengerusi cawangan SAPP Sembulan Selatan (Mac 20, 2012)
|