Kerajaan tidak ambil tegas terhadap syarikat konsesi
TENOM,
Mac 22, 2012:
Naib Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Pusat, Rudy Sulaiman Mairi mempertikaikan
pendirian kerajaan yang tidak mengenakan tindakan tegas terhadap kontraktor
konsesi kerajaan yang dikritik hebat kerana gagal menyelenggara jalan kampung
dengan baik.
Beliau berkata, kontraktor terlibat tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana
kerajaan juga tidak terlepas daripada bertanggungjawab di atas kelemahan
tersebut kerana tidak bertindak tegas terhadap kontraktor terbabit.
"Seingat saya, ia bukan sahaja berlaku dikawasan pedalaman malah diseluruh
negeri ini... tetapi kenapa kerajaan tidak mengambil tindakan tegas terhadap
kontraktor berkenaan kerana sudah gagal melaksanakan perintah kerja yang
termaktub dalam perjanjian mereka," kata beliau di hadapan kira-kira 100 ahli
SAPP di Kg batu 90-Simpangan, baru-baru ini.
"Adakah kontraktor itu mempunyai kekebalan dari segi tindakan kerajaan," katanya,
sambil menambah rakyat di kawasan akar umbi yang menjadi mangsa kepincangan itu
sedangkan mereka amat mengharapkan jalan raya yang sempurna dan selesa.
Seiring slogan 'Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan' Kerajaan patut
mengkaji semula perkhidmatan kontraktor terbabit.
"Sudah jelas kepada kita bahawa sistem penswastaan penyelenggaraan jalan raya
dan juga lain-lain yang diperkenalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak
memberi manfaat kepada rakyat malah membebankan," tegasnya.
"Banyak bukti yang boleh diambil contoh seperti jalan raya Binsilon-Tumantalik
sejauh 5km belum dinaik taraf dan diaspal walaupun janji sudah ditaburkan sejak
2008 lagi.
"Pusat GiatMara bersebelahan SMK Tenom juga masih belum siap walaupun sudah
lebih separuh tahun terbengkalai," katanya lagi.
Oleh Mail Mathew
|