Pairin tidak ikhlas menyelesaikan isu dasar kabotaj
TAMPARULI,
Mac 29, 2012: Gesaan Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Joseph Pairin Kitingan agar
Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha menggantung sementara Dasar Kabotaj
adalah satu tindakan yang tidak ikhlas, dan dapat diumpamakan sebagai satu
penghinaan kepada kecerdikan rakyat Sabah.
Dimana tindakan ini seperti
melepaskan batuk ditangga. "beliau memegang jawatan dalam kabinet negeri Sabah.
Beliau turut mempunyai pengaruh besar dalam menjadikan negeri Sabah sebagai "Simpanan Tetap Barisan Nasional" yang diterajui oleh UMNO, seandainya beliau
benar-benar mahu menyelesaikan masalah ini mengapa hanya setakat merayu agar
dasar ini digantung Sementara, kenapa tidak meminta menteri berkenaan untuk
mengunakan budibicaranya untuk membatalkan sahaja Dasar ini secara serta merta" ujar Stephan Gaimin (31) Ahli Majlis Tertinggi parti SAPP merangkap Setiausaha
Exco Pemuda Pusat.
"Stephan Gaimin menyatakan bahawa dalam era tahun 1985, tidak dapat dinafikan
bahawa Tan Sri Pairin merupakan satu ikon politik. Saya tahu sedikit sebanyak
siapa beliau kerana saya membesar sewaktu pemerintahan PBS sehinggalah PBS
menjadi pembangkang dan akhirnya kembali merayu menjadi komponen Barisan
Nasional. Namun semua itu telah berakhir dan menjadi kenangan, ibarat harimau
tua yang tidak mempunyai gigi Tan Sri Pairin kini tidak mampu membela rakyat
Sabah, beliau sudah tidak mempunyai kuasa dalam kabinet walhal beliau adalah
Timbalan Ketua Menteri. Apa yang mampu beliau buat hanyalah merayu. Perkara ini
sama sekali tidak boleh diterima pakai.
Stephan juga turut mempersoalkan kenyataan ketua penerangan PBS Datuk Johny
Mositun yang menyeru penduduk Sabah agar menentang Dasar Kabotaj kerana ia akan
menyebabkan rakyat menjadi bertambah miskin. Sejak tahun 1980 sehingga kini
rakyat sabah sudah menderita selama 31 tahun disebabkan dasar ini. Rakyat Sabah
telah tahu dan sedar bahawa dasar ini sememangnya menyebabkan harga barang
mengalami kenaikan dan mewujudkan jurang perbezaan harga yang sangat jauh
diantara semenanjung dan Sabah. Rakyat tidak mahu tahu dan tidak perlu diajar
tentang keburukan dasar kabotaj kerana isu ini telah lama diperkatakan. Apa yang
rakyat mahu tahu adalah, tindakan drastik perlu diambil untuk menyelesaikan isu
ini.
Saya meragui keikhlasan dan kesungguhan kedua orang pemimpin ini. Mengapa, hanya
setelah sekian lama isu ini menyiksa poket rakyat negeri Sabah barulah mereka
menjadi seolah-olah sebagai wira yang kononnya ingin membela dan menunjukan
keprihatinan terhadap isu ini? Adakah ianya kerana bahang pilihanraya ke 13
sudah mula dirasai? Ataupun hanya bersandiwara semata-mata.
Tegasnya rakyat harus bijak menilai sejauh mana keazaman seseorang pemimpin itu
dalam mengatasi sesuatu isu seperti ini. Taktik sebegini daripada pemimpin untuk
menyenangkan rakyat sudah berlaku berulangkali tanpa sebarang penyelesaian yang
nyata. Maka dengan itu satu tindakan harus dibuat dan perlu dicerminkan melalui
keputusan pilihanraya yang akan datang.
|