SAPP akan tanding banyak kerusi DUN
LABUAN: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Datuk Yong Teck Lee berkata parti itu
akan bertanding dalam jumlah kerusi yang besar bagi Dewan Undangan Negeri Sabah
pada Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Beliau berkata, parti itu juga telah membuat siri perbincangan dengan parti dari
pihak pembangkang untuk menghadapi parti komponen Barisan Nasional (BN) dalam
pilihanraya yang bakal tiba tidak lama lagi.
"Untuk kerusi parlimen, kami tidak akan bertanding dalam jumlah yang besar atas
kesepakatan dengan parti lawan BN yang lain. Kami mahu satu lawan satu dengan
parti komponen BN" katanya pada sidang media di sini, Isnin lalu.
Apabila ditanya sama ada parti itu berminat untuk meletakkan calon di sini, Yong
berkata setakat ini SAPP belum lagi membuat sebarang keputusan mengenai perkara
itu.
"Walau bagaimanapun, objektif kami di sini ialah untuk mengalahkan pihak BN dan
kami akan menyokong parti lawan BN di sini dalam PRU akan datang," katanya.
Menyentuh isu cadangan pembinaan jambatan yang menghubungkan antara pulau ini
dan Menumbok yang telah dibatalkan sebelum ini, Yong berkata pembatalan projek
berkenaan satu tindakan yang mengecewakan penduduk Labuan.
Tambahnya, kewujudan jambatan itu akan meningkatkan lagi tahap sosio ekonomi
antara penduduk di sini dan di sekitar kawasan Klias, Beaufort.
Yong berkata, kajian yang telah dilakukan oleh pihak Universiti Malaysia Sabah
(UMS) ke atas pembinaan jambatan berkenaan menelan belanja sebanyak RM5 juta,
namun wang itu terbazir begitu sahaja setelah projek dibatalkan.
Mengenai kerusi Parlimen Sepanggar yang kini menjadi 'kerusi panas' bagi parti
komponen BN yang masing-masing mahu diberi peluang untuk bertanding menentang
SAPP, Yong berkata SAPP akan berusaha mempertahankan kerusi itu.
"Kami yakin terhadap sokongan pengundi di kawasan Sepanggar dan kami percaya
mampu mempertahankan kerusi itu," katanya.
|