Mudanita SAPP sedia galas cabaran
KOTA
KINABALU, Apr 3, 2012: Parti Maju Sabah (SAPP) baru-baru ini telah meluluskan
penubuhan sayap baru dipanggil sebagai Mudanita khusus untuk wanita muda berusia
18-35 tahun. Ahli Majlis Tertinggi, Philicica Tong telah diberi tanggungjawab
sebagai ketua Mudanita.
Menurutnya, Mudanita telah menubuhkan Jawatankuasa Perhubungannya melalui
mesyuarat pertama di Ibu pejabat Sabtu lepas. Selain Philicica sebagai Ketua,
Siti Suryani Abdul Lamit dan Khau Kha Wui masing-masing dilantik sebagai Naib
Ketua, manakala Elsiavena Molly Sonny (Setiausaha) Pathlyn Leosie M. Mikat (Bendahari),
Penny Ginsu (Ketua Penerangan), Amy Amanda Ginsu (Penolong Setiausaha Penganjur),
Rosminie Ag Dami (Penolong Setiausaha), Allison Lo (Penolong Ketua Penerangan),
Jawatankuasa Perhubungannya pula terdiri daripada Sherine Chong Tze Tzong ,
Wendy Chia , Phyllis Moluntang , Noranizah Mausar , Nur Fadilah Kassim.
"Kita mengajak wanita muda untuk menyumbang tenaga dan idea demi perjuangan
membela rakyat" kata Philicica.
Menurut beliau lagi, antara Objektif penubuhan Pergerakan Mudanita adalah untuk
mewujudkan satu landasan bagi wanita muda bergiat dalam aktiviti dan didedahkan
dengan isu-isu semasa khususnya isu-isu yang melibatkan masyarakat negeri Sabah.
Melalui perkembangan semasa, setiap warga Sabah harus berani dan bersama-sama
memperjuangkan hak orang Sabah agar Sabah tidak terus dikongkong oleh Pemimpin
Semenanjung dan terus menerus digelar sebagai 'fixed deposit'.
"Rakyat Sabah harus sedar dan berjuang untuk mempertahankan hak-hak yang
termaktub dalam perjanjian 20 perkara kemasukan negeri Sabah dalam Malaysia"
sambung beliau lagi.
Beliau menegaskan, Mudanita akan mengikis persepsi dengan memperkukuhkan
pengetahuan politik dan sentiasa berada dibarisan hadapan bersama Pemuda dan
Wanita SAPP. Mudanita akan bergerak aktif dalam kerja sosial dan kemasyarakatan
disamping memainkan peranan penting menghadapi pilihanraya kelak.
Beliau mengakui, masa terlalu suntuk untuk menyediakan pasukan yang besar,
bagaimanapun disebabkan 70% anggota Mudanita adalah evolusi dari sayap terdahulu
yang dipanggil Graduan Kem Belia(GKB), beliau optimis Mudanita mampu menjadi
sandaran untuk menggalas tugas penting itu kelak. Menurutnya, dengan adanya
kerjasama erat dan bimbingan kuat, masa bukanlah suatu penghalang untuk menempah
kejayaan.
|