SPR diminta selesai isu daftar pemilih
TAWAU,
Apr 9, 2012:
Ahli parlimen Tawau Datuk Chua Soon Bui mahu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)
segera memperbetulkan semua isu dan permasalahan yang timbul dalam
senarai pengundi di Sabah sebelum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU - 13)
berlangsung.
Tegasnya, sehingga kini isu-isu berkaitan yang disuarakannya di Dewan
Rakyat masih lagi berlaku dan belum diselesaikan atau dibersihkan.
Katanya, beliau menerima aduan isu berhubung seorang guru kanan di
sebuah sekolah di Tawau yang memiliki nombor dan pengenalan sama dengan
seorang pengundi di Kota Belud.
"kita hendak tahu siapakah antara dua individu itu yang betul dan
merupakan pemilik sah dokumen itu," katanya yang sudah menyerahkan
dokumen berkaitan individu berkenaan kepada SPR untuk disiasat dan
diambil tindakan sewajarnya.
"Sebelum ini, katanya, beliau sering menyuarakan isu ramai pengundi 'terlalu
tua' berumur 126 tahun di Parlimen Tawau, nama pengundi hilang dari
daftar pemilih walaupun pernah mengundi sebelum ini termasuk isu pusat
mengundi ditukar 'sesuka hati' oleh SPR tanpa pengetahuan individu
terlibat.
"Semua ini memerlukan penyelesaian... perlu dibersihkan bagi memastikan
PRU akan datang bersih dan adil seperti didakwa," katanya dalam sidang
media, Sabtu.
Dalam pada itu, Chua turut mempersoalkan mana satukah jumlah yang betul
tentang pecahan peningkatan pengundi di negeri ini seperti rekod SPR
yang dilihat bercangah.
Jelasnya, rekod itu mencatatkan seramai 807,862 pengundi di Sabah pada
2008 iaitu 794,448 (pengundi biasa) dan 13,414 (pengundi pos).
Manakala, rekod setakat 18 Febuari 2012 menunjukkan seramai 882,138
pengundi yang meliputi 867,375 (pengundi biasa) dan 14,763 (pengundi
pos). Data itu menunjukkan peningkatan sebanyak 74,276 pengundi.
"Bagaimanapun, dalam rekod senarai pengundi yang diberikan Jabatan
Perdana Menteri, ia menunjukkan peningkatan sebanyak 125,069 setelah
diberikan dua pecahan.
"sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai
permasalahan berkaitan agar segera memaklumkan kepada pihaknya melalui
089-775288 atau faks (089-778287) atau sistem pesanan ringkas (SMS) ke
019-8530087.
Ia, katanya, bagi membantu beliau mengumpul bukti untuk diserahkan
kepada pejabat SPR demi satu tindakan penyelesaian. Bukti-bukti
berkenaan akan diserahkan pada 16 April depan.
Oleh Lagatah Toyos
|