Kelalaian JPN, sengsara anak tempatan
Oleh Stephan Gaimin
TENGHILAN (TAMPARULI), Apr 25, 2012: Bosan dengan pelbagai alasan dan
karenah birokrasi yang dihadapi untuk memiliki dokumen MyKad, seorang
lelaki tempatan Francis Sopoyut(Kiri), 48, terpaksa mendedahkan masalah
dihadapinya sejak 2001, menerusi akhbar ini.
Beliau yang berasal dari Kampung Napitas Tenghilan dekat sini dan
memiliki dokumen pengenalan 'Kad Pengenalan Biru', memberitahu
masalahnya bermula apabila proses menukarkan Kad Pengenalan lama kepada
Kad Pengenalan Bermutu Tinggi sejak lebih kurang sepuluh tahun lalu.
"Saya telah mengemukakan permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
untuk proses penukaran itu, bagaimanapun selepas merujuk beberapa kali
saya diberitahu, semakan komputer oleh jabatan berkenaan tidak dapat
mengesan maklumat mengenai saya termasuk surat lahir.
"Ini membuatkan saya benar-benar bingung apatah lagi diberitahu bahawa
satu daripada cap jari yang terdapat dalam kad pengenalan biru (dibuat
di pejabat JPN Tamparuli ketika berusia 12 tahun) berbeza dengan cap
jari saya," adunya.
Justeru katanya, dia diarah membuat laporan polis oleh pihak berkuasa
berkaitan berhubung kehilangan dokumen pengenalan dan terpaksa berbuat
demikian semata-mata mempercepatkan proses pengeluaran MyKad dirinya.
Bagaimanapun ujarnya, usaha itu seakan sia-sia walaupun diusahakannya
dengan kos yang agak besar apabila sehingga sekarang belum kelihatan
tanda-tanda positif untuk MyKad itu dimiliki.
"Terdapat juga beberapa pemimpin termasuk pemimpin masyarakat yang
berjanji untuk membantu tetapi tidak pernah dikotakan," katanya yang
menemui New Sabah Times bersama dengan Exco Pemuda SAPP Pusat Stephan
Gaimin(Kanan) baru-baru ini.
Francis mendakwa akibat masalah dokumen pengenalan diri, dia menghadapi
pelbagai kekangan termasuk membuka akaun bank dan menguruskan urusan
persekolahan anak-anaknya.
"Segala urusan anak-anak yang membabitkan dokumen pengenalan diri
terpaksa dilakukan oleh isteri saya disebabkan kad pengenalan sementara
oleh pihak JPN adakalanya tidak diterima.
"Kecuali mengundi (disebabkan untuk proses pengundian boleh menggunakan
dokumen lain seperti lesen memandu) setiap kali Pilihanraya Umum, saya
sentiasa menghadapi kesukaran dalam mana-mana urusan," katanya kecewa.
Beliau memberitahu wang simpanan dalam ASB (Amanah Saham Bumiputera)
yang dibukanya menggunakan kad pengenalan biru juga sekarang ini
terbiar begitu sahaja.
Menurutnya lagi, sekarang ini dia terpaksa berurusan secara langsung di
pejabat JPN di Putrajaya, Likas dekat Kota Kinabalu apabila diarahkan
demikian.
"Semua dokumen yang diperlukan sudah saya sediakan. Tetapi dokumen
pengenalan itu dikatakan masih tidak dapat dikeluarkan kerana masalah
cap jari.
"Saya sudah buntu mencari jalan untuk masalah yang sekian lama
berlarutan ini," katanya yang telahpun mengadukan masalahnya kepada
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dengan bantuan Stephan.
Lebih mengecewakan apabila sejak hampir setahun lalu dia berulang-alik
ke Putrajaya (pejabat JPN di Likas) dengan harapan mendapat berita
positif mendapati pihak terbabit seakan bosan melayan masalahnya
apabila disuruh untuk menghubungi sendiri pejabat JPN di Kuala Lumpur
sekiranya tidak mampu menunggu lebih lama.
"Saya sudah terlalu lama menunggu, sehinggakan tidak tahu lagi apa
harus dilakukan," katanya yang berharap masalahnya itu mendapat
penyelesaian secepat mungkin dan merayu bantuan nasihat dari mereka
yang berpengetahuan dalam hal sebegini.
Sementara itu, Stephan ketika diminta mengulas perkara itu berkata,
biarpun ada masalah pada cap jarinya sepatutnya pihak JPN tahu bahawa
orang-orang seperti Francis ini ialah warga tempatan, kerana secara
terang-terangan mereka ini memang berbahasa Dusun dan bukannya
menggunakan dialek pendatang asing.
"Kita tidak menolak kemungkinan terdapat kelemahan semasa pengurusan
permohonan Kad Pengenalan pada tahun-tahun sebelum ini, tetapi wajarkah
jika sehingga sekarang perkara ini tidak mendapat keputusan?," katanya
lagi.
Katanya, apa yang merisaukan adalah apabila berlakunya situasi-situasi
seperti kad pengenalannya telah dipakai oleh orang lain atau lebih
kasihan kemungkinan dia (Francis) boleh dituduh memiliki kad pengenalan
orang lain sedangkan langsung tidak menyangka perkara sedemikian
berlaku.
"Saya terdorong untuk membantu Francis kerana melihat masalah ini
sebagai antara isu terbesar di Sabah sekarang ini, dan saya menyeru
kepada sesiapa yang mempunyai masalah seumpama ini agar dapat
menghubungi mana-mana pejabat SAPP, dan kami akan cuba usahakan cara
untuk membantu mereka," jelasnya lagi.
Menurut beliau, buat masa ini mereka sedang menunggu surat daripada
pihak Suhakam tetapi Setiausaha Suhakam sendiri telah berjanji untuk
menghantar dokumen Francis ke Pengarah Pendaftaran bagi menyelesaikan
masalah berkenaan.
Dalam masa sama, kami akan sentiasa memantau masalah-masalah sedemikian
dan saya sendiri sanggup untuk bertemu mereka yang mempunyai masalah
ini terutamanya penduduk tempatan yang tinggal di luar bandar.
"Kita berharap agar mana-mana pihak mengambil serius mengenai hal
seperti ini dan menolak unsur-unsur berat sebelah serta komited
terhadap tugas mereka," tegas beliau.
Justeru, beliau menyeru agar pihak JPN dapat mempercepatkan pengurusan
kad pengenalan Francis dan berharap situasi sedemikian tidak akan
berlaku lagi pada masa-masa akan datang untuk kebaikan semua.
|