SAPP janji bantu rakyat miliki rumah
KOTA
KINABALU, Mei 7, 2012: Parti Maju Sabah (SAPP) berjanji akan membantu
generasi muda memiliki rumah sendiri apabila mengambil alih tampuk
pemerintahan kerajaan negeri Sabah selepas memenangi pilihanraya umum
kali ke-13 akan datang.
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, golongan sasar
adalah belia yang berkahwin buat kali pertama dan masih belum memiliki
rumah.
"SAPP pernah membantu rakyat Sabah memiliki kediaman selesa ketika saya
memegang jawatan sebagai Ketua Menteri dari tahun 1996 hingga 1998.
"Para setinggan tempatan dan rakyat yang tidak memiliki rumah pada
ketika itu dibantu sehingga mereka berjaya memiliki rumah masing-masing.
"Banyak estet perumahan dan perkampungan telah dibuka. Sebagai contoh,
kita tidak perlu pergi jauh, di sekitar kawasan bandaraya ini sahaja
kita telah bina Taman Keramat, Kampung Warisan, Kampung Cenderamata 1,
Kampung Cenderamata 2 dan lain-lain lagi.
"Ini
bukan janji kosong. Kita telah buktikan pada masa lalu dan akan terus
membantu rakyat yang tidak mempunyai rumah agar mereka dapat tempat
berteduh yang selesa.
"Apabila menerajui kerajaan negeri Sabah selepas pilihanraya umum nanti,
kita juga berjanji akan membina lebih banyak lagi rumah pada masa akan
datang," katanya.
Beliau berucap pada majlis perhimpunan belia SAPP Kota Kinabalu yang
telah diadakan di sebuah dewan Sekolah pada hari ahad lalu.
Beliau berkata, para belia perlu dibantu mendapatkan rumah kerana ia
adalah satu proses kehidupan kerana apabila seseorang itu meningkat
dewasa maka mereka pasti ingin mendirikan rumahtangga dan membina
sebuah keluarga bahagia disamping memiliki sebuah kediaman selesa.
Katanya,
ramai belia Sabah pada masa ini sukar mendapatkan rumah kerana kerajaan
negeri Sabah pada hari ini gagal menyediakan rumah yang mencukupi.
Teck Lee berkata, lebih parah lagi apabila puluhan ribu belia Sabah
masih menganggur sehingga tidak mampu menyara hidup sendiri apa lagi
memiliki rumah.
"SAPP apabila membentuk kerajaan nanti akan perbetulkan semua kegagalan
dalam sistem pemerintahan kerajaan negeri Sabah yang ditunjangi UMNO
ini.
"Walaupun pada masa ini kita berdepan dengan pelbagai rintangan tetapi
perjuangan akan diteruskan sehingga beroleh kejayaan. Selaras dengan
misi parti SAPP yakni, "mewujudkan sebuah kerajaan yang amanah, dan
masyarakat yang progresif, adil dan sejahtera" SAPP akan kotakan janji,"
katanya.
Puluhan ribu belia Sabah menggangur
KOTA KINABALU,
Mei 7,2012: Puluhan ribu belia Sabah terpaksa berhijrah
ke Semenanjung dan luar negara mencari pekerjaan ekoran kepincangan
ekonomi di negeri ini, kata Ketua Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Edward
Dagul(kiri).
Katanya, para belia itu tidak ada pilihan lain kecuali keluar dari
negeri ini mencari pekerjaan di seberang laut luar kerana kerajaan
Barisan Nasional (BN) Sabah gagal menyediakan peluang pekerjaan yang
mencukupi.
"Lebih 60,000 belia di Sabah telah dikenal pasti masih lagi menganggur.
Ramai daripada mereka ini telah pergi ke Semenanjung Malaysia atau luar
negara mencari pekerjaan.
"Apa yang menyedihkan ialah sebahagian daripada mereka itu terpaksa
hidup merempat apabila gagal mendapat sebarang kerja.
"Ada diantara mereka bergantung hidup di atas ehsan NGO bagi
mendapatkan sesuap nasi malah segelintir daripada mereka terpaksa tidur
dikaki lima kerana tidak ada tempat berteduh," katanya.
Beliau berucap pada majlis perhimpunan belia SAPP Kota Kinabalu yang
telah diadakan pada ahad lalu di Likas.
Hadir sama Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Naib Ketua
Pemuda SAPP Jamain Sarudin (kanan) serta Ketua-Ketua Pemuda SAPP Jawatankuasa
Perhubungan Kawasan (CLC) Api-Api, Kepayan, Moyog, Petagas, Tanjung Aru,
Inanam, Karambunai, Luyang dan Likas.
Turut hadir, Timbalan Presiden SAPP merangkap Ahli Parlimen (MP)
Sepanggar Datuk Eric Majimbun, Timbalan Presiden SAPP merangkap Ahli
Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Liew Teck Chan, Setiausaha
Agung SAPP Datuk Richard Yong dan Bendahari Agung SAPP Dullie Marie.
Tidak ketinggalan, Ketua Wanita SAPP merangkap ADUN Luyang Melanie Chia,
MP Tawau Datuk Dr. Chua Soon Bui, Ketua Penerangan SAPP Chong Pit Fah
dan barisan Ahli Majlis Tertinggi SAPP serta para pemuda SAPP.
Edward berkata, kerajaan negeri Sabah pada satu ketika dahulu pernah
menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat isu belia yang merempat di
Semenanjung.
"Bagaimanapun sehingga ke hari ini tidak ada sebarang langkah diambil
untuk menyelesaikan masalah itu. Lebih buruk lagi ialah semakin ramai
belia Sabah merempat di Semenanjung.
"Nampaknya, kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah yang ditunjangi UMNO
pada hari ini tidak peduli akan nasib malang yang menimpa belia Sabah
itu malah telah gagal menyediakan pekerjaan mencukupi untuk generasi
muda ini," katanya.
Menyentuh mengenai politik semasa, Edward berkata, BN Sabah kini mulai
gentar akan kebangkitan SAPP yang tidak pernah jemu memperjuangkan
nasib rakyat segenap lapisan. Dapat dilihat bendera yang SAPP pasang
diluar bangunan telah dicabut dan dirampas oleh pihak yang berkuasa,
tetapi bendera yang dipasang oleh Umno BN di tepi jalanraya putatan
dibiarkan begitu sahaja.
Katanya, BN mula menyedari akan kekuatan SAPP yang boleh menumbangkan
mereka pada pilihanraya umum kali ke-13 akan datang.
Edward berjanji segala kepincangan dalam pentadbiran kerajaan BN Sabah
akan diperbetulkan apabila SAPP mengambil alih tampuk pemerintahan
negeri selepas memenangi pilihanraya umum nanti.
|