Nama meragukan dalam daftar pengundi suku pertama 2012
TENOM, 28 Mei 2012: Daftar pengundi suku
pertama 2012 didapati mengandungi terlalu banyak nama meragukan, kata
Timbalan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Eric Majimbun.
Katanya, banyak nama yang tersenarai dalam daftar pengundi itu tidak
mempunyai nama ibu bapa sehingga menimbulkan keraguan bahawa mereka itu
adalah orang asing yang diberi kerakyatan melalui pintu belakang.
"Terdapat nama tanpa Bin atau Binti (yang menunjukkan jantina seseorang
itu samada lelaki atau perempuan).
"Apa yang menghairankan ialah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberi
mereka ini kerakyatan sekaligus melayakkan mereka mendaftar sebagai
pengundi seperti yang tersenarai dalam daftar pengundi suku pertama
tahun 2012," katanya berucap pada perayaan Pesta Menuai SAPP 2012
peringkat negeri Sabah di Kampung Pulong, di sini.
Turut hadir, Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Penasihat
SAPP yang juga bekas Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd Noor Mansoor,
Pengerusi Penganjur majlis merangkap Naib Presiden SAPP Jimmy Jawatah
dan Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Likas
Datuk Liew Teck Chan.
Hadir sama, Ketua Wanita merangkap ADUN Luyang Melanie Chia, Naib
Presiden Jaafar Ismail, Ketua Pemuda Edward Dagul, Ahli Majlis
Tertinggi (AMT) Stephan Gaimin, Roger Stimin (AMT) dan Ketua Penerangan
Chong Pit Fah.
Eric selaku Ahli Parlimen Sepanggar berkata, orang asing bukan sahaja
menjadi pengundi tetapi turut merampas peluang rakyat tempatan dalam
bidang ekonomi terutamanya sektor peruncitan dan sektor perkhidmatan
penyediaan makanan.
Katanya, ramai orang asing yang mendapat kerakyatan itu didapati
menjalankan perniagaan seperti membuka kedai runcit dan restoran samada
di kawasan bandar mahupun jauh di kawasan pedalaman.
"Pengundi tanpa nama ibu bapa tapi JPN benarkan didaftar sebagai rakyat
seterusnya sebagai pengundi seperti dalam senarai daftar pengundi suku
pertama tahun 2012.
"Kita harus tentang perkara ini. Semakin hari hak rakyat semakin
terhakis. Rakyat mesti bertindak dan tukar kerajaan," katanya.
Sementara itu, Mohd Noor berkata, masalah utama yang sedang dihadapi
rakyat negeri Sabah pada masa ini ialah kebanjiran Pendatang Asing
Tanpa Izin (PATI).
"Mereka adalah ibu segala masalah. Pada masa ini kita dengar Jabatan
Hutan menghalau rakyat tempatan serta merampas tanah mereka, tetapi apa
yang menakutkan ialah satu hari nanti PATI ini akan menghalau rakyat
Sabah keluar dari negeri ini.
"Jika masalah kebanjiran pendatang asing ini tidak diatasi maka perkara
sedemikian akan berlaku di masa hadapan," katanya.
Beliau berkata, pada masa ini PATI terdapat di mana-mana sahaja di
negeri ini termasuk di kawasan pedalaman bebas menjalankan aktiviti
mereka termasuk berniaga.
Beliau berkata, masalah itu boleh diselesaikan jika rakyat Sabah
bersatu mengenepikan Barisan Nasional (BN) pada pilihanraya umum kali
ke-13 akan datang dan memilih SAPP mengambilalih pemerintahan kerajaan
negeri.
Katanya, peluang untuk menukar kerajaan BN kepada SAPP hanya datang
sekali dan masanya ialah pada pilihanraya umum kali ke-13 nanti.
Terdahulu, Jimmy dalam ucapannya berkata, ramai rakyat tempatan yang
tinggal di kawasan pedalaman kini hidup dalam keadaan gelisah kerana
khuatir Kerajaan Barisan Nasional (BN) Sabah akan robohkan rumah serta
merampas tanah mereka.
Katanya, banyak kes rampasan tanah berlaku di seluruh negeri Sabah dan
semuanya terjadi dalam masa pemerintahan Kerajaan BN Sabah pada hari
ini.
Beliau berkata, SAPP apabila memenangi pilihanraya kali ke-13 akan
datang dan seterusnya membentuk Kerajaan negeri Sabah yang baru
berjanji akan mengembalikan semula tanah yang telah dirampas itu.
Jimmy berkata, geran pemilikan tanah akan diberi manakala rakyat
tempatan yang tidak memiliki tanah akan diberi tanah melalui Pelan
Reformasi Tanah SAPP.
Katanya, beribu-ribu rakyat tempatan telah diberi tanah ketika Yong
menjadi Ketua Menteri Sabah dari 1996 hingga 1998 dan perkara itu akan
dihidupkan kembali apabila SAPP mengambil alih tampuk pimpinan kerajaan
negeri Sabah nanti.
|