20 Perkara masih sah
TENOM,
28 Mei 2012: Perjanjian 20 Perkara yang menjaga kepentingan Sabah
apabila negeri ini bersetuju turut serta menubuhkan Malaysia pada 1963
masih lagi sah, kata Parti Maju Sabah (SAPP).
Presiden SAPP Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, Perjanjian 20
Perkara itu sah sampai bila-bila kerana tidak ada tamat tempoh.
"Malangnya, di Sabah ada pemimpin tidak sanggup pertahankan hak Negeri
ini.
"Contohnya, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah Datuk Seri Salleh Tun
Said kerana dalam satu kenyataan di akhbar telah berkata bahawa
Perjanjian 20 Perkara itu tidak lagi sah.
"Dokumen yang amat penting bagi Sabah ialah Perjanjian Malaysia 1963.
Perjanjian itu masih berkuatkuasa kerana tidak ada tempoh tamat.
"Apabila Perjanjian Malaysia masih ada maka 20 Perkara itu masih sah,"
katanya berucap merasmikan perayaan Pesta Menuai SAPP 2012 peringkat
Negeri di Kampung Pulong di sini.
Turut hadir, Penasihat SAPP yang juga bekas Menteri Kewangan Sabah
Datuk Mohd Noor Mansoor, Pengerusi Penganjur majlis merangkap Naib
Presiden SAPP Jimmy Jawatah, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen
Sepanggar Datuk Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Liew Teck Chan dan Ketua Wanita
merangkap ADUN Luyang Melanie Chia.
Hadir sama, Naib Presiden Jaafar Ismail, Ketua Pemuda Edward Dagul,
Ahli Majlis Tertinggi (AMT) Stephan Gaimin, Roger Stimin dan Ketua
Penerangan Chong Pit Fah.
Salleh telah dilaporkan sebagai berkata, bahawa Perjanjian 20 Perkara
mengenai penjagaan hak dan kepentingan Sabah apabila Negeri ini
bersetuju terhadap pembentukan Malaysia tidak lagi sah kerana ianya
sudah menjadi sebahagian daripada Perlembagaan Malaysia.
Yong berkata Perjanjian Malaysia yang ditandatangani bersama wakil
Kerajaan British, Malaya, Sabah (Borneo Utara), Sarawak dan Singapura
di London pada 1963 diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
"Jika Perjanjian Malaysia tidak ada lagi maka dengan sendirinya
kewujudan negara Malaysia hilang," kata Yong bekas ketua Menteri Sabah
dari 1996 hingga 1998.
Beliau berkata, salah satu daripada 20 Perkara itu adalah dasar
Borneonisasi dimana para pegawai Jabatan Persekutuan di Sabah
seharusnya terdiri daripada rakyat Sabah.
"Artikel 8 dalam Perjanjian Malaysia menyatakan kesemua 20 Perkara itu
termasuk Borneonisasi mesti dilaksanakan," kata Yong sambil menambah
satu saman mendesak Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah
melaksanakan Borneonisasi telah difailkan di MahkamahTinggi Kota
Kinabalu.
Hakim Datuk Wong Dak Wah pada 25 Mei menegaskan bahawa bekas Inspektor
polis Bernard Fung Fon Chen, 70, dan bekas Cikgu Mohd Nazib Maidan
Dally, 35, mempunyai hak menuntut Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan
Sabah melaksanakan dasar Borneonisasi itu.
|