Majlis Daerah Tenom
Buat Kesilapan Berulang kali
TENOM, 25 Jun 2012: Majlis Daerah Tenom (MDT) sering melakukan
kesilapan dalam aspek pembangunan sehingga menimbulkan keraguan samada
projek yang dilaksanakan memberi manfaat kepada rakyat atau segelintir
pihak berkepentingan sahaja.
Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP)Datuk Frankie Chong
berkata, kesilapan terbaharu ialah apabila pokok berusia ratusan tahun
ditebang bagi memberi laluan kepada pembinaan tandas awam di Padang
Pekan Tenom.
"Ia adalah satu tindakan yang kurang wajar dan tidak sepatutnya berlaku,
pokok yang ditebang itu adalah diantara pokok-pokok yang disebut 'centenary trees' yang amat bernilai.
"Pokok itu musnah begitu sahaja oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,"
katanya dalam satu kenyataan.
Beliau
(kanan) berkata, kawasan persekitaran padang itu adalah 'kawasan lapang
hijau' yang amat cantik kerana dikelilingi pokok-pokok berusia ratus
tahun sehingga menjadi tarikan orang ramai dan pelancung.
Katanya, pokok-pokok itu boleh dianggap sebagai salah satu mercu tanda
kepada pekan Tenom.
Frankie yang berasal dari Tenom turut berkata bahawa, pokok-pokok
tersebut menjadi nostalgia kepada warga pekan itu kerana memberi
perlindungan kepada para peserta pelbagai acara rasmi sehingga kepada
acara sukan sejak dahulu hingga ke hari ini.
Katanya, padang tersebut mempunyai astaka yang cantik berserta dengan
kemudahan tandas didalamnya.
Beliau menambah, sebuah tandas awam juga terdapat berhampiran dengan
astaka berkenaan. "Saya bukan membantah pembinaan tandas awam yang
memberi kemudahan kepada orang ramai tetapi adalah lebih baik jika
tandas awam sedia ada yang berdekatan astaka itu dibuat penambahbaikan
dan dinaik taraf jika perlu dengan peruntukan yang sedia ada kerana ia
terletak hanya lebih kurang 100 meter daripada tandas yang hendak
dibina itu.
"Sebuah tandas awam juga terdapat dikawasan stesen keretapi berhampiran.
"Maka adalah wajar jika MDT membatalkan cadangan membina tandas awam
baharu itu," katanya.
Menghuraikan kesilapan MDT, Frankie berkata, pembinaan taman permainan
kanak-kanak disebelah kiri astaka itu beberapa tahun dahulu telah
menyebabkan kawasan lapangnya menjadi sempit dan pada masa yang sama
telah memusnahkan pemandangan dan lanskap hijau persekitaran padang
tersebut.
Frankie berkata, beliau telah membuat bantahan rasmi kepada MDT
disamping memberi cadangan agar taman permainan kanak-kanak itu dibina
di kawasan berdekatan dengan kelab hiburan lama dan gelanggang bola
keranjang yang terbengkalai.
Katanya, tapak yang dicadangankannya lebih luas dan selamat kerana
terletak besebelahan dengan jalan di padang pekan itu.
Frankie berkata, satu lagi kesilapan MDT telah dilakukan beberapa tahun
lalu apabila sebahagian besar kawasan letak kereta yang berhadapan
dengan Tenom Hotel dijadikan medan selera.
Katanya, medan selera itu tidak mendapat sambutan malah kebanyakan
warung-warung yang didirikan terletak dibelakang restoran dan kedai
kopi menyebabkan Tenom tidak tersusun dan menjadi sebuah pekan rojak.
Beliau berkata, MDT telah mengeluarkan perbelanjaan besar untuk membina
tempat letak kereta itu bagi mengatasi masalah tempat letak kereta yang
tidak mencukupi sehingga ke hari ini.
Frankie menambah beliau telah menasihati MDT mengenai pembinaan medan
selera itu tetapi tidak diendahkan.
"MDT melakukan kesilapan demi kesilapan yang meragukan sehingga
menimbulkan syak wasangka bahawa semua kesilapan itu disengajakan hanya
kerana untuk memenuhi nafsu segelintir pihak yang dahagakan projek
sahaja.
"MDT seharusnya lebih bertanggungjawab terhadap kepentingan awam dengan
mengambil kira pembangunan jangka panjang yang memberi manfaat kepada
masyarakat dan pengguna di Tenom.
"Lebih-lebih lagi, Tenom adalah destinasi pelancungan, justeru itu
perlu diambil kira semua aspek pembangunan yang ingin dilaksanakan
supaya hanya projek yang menjurus kepada tarikan pelancungan yang
holistik sahaja dilaksanakan.
"Perlu diingat bahawa semua projek yang ingin dilaksanakan selain dapat
memenuhi permintaan pembangunan ia juga seharusnya tidak menimbulkan
masalah jangka panjang.
"Keseimbangan pembangunan dan keperluan memelihara alam semula jadi
atau alam sekitar boleh dicapai melalui amalan pengurusan bijak,"
katanya.
|