SAPP Moyog lancar manifesto PRU-13
PENAMPANG, 16 Julai 2012: Parti
Maju Sabah (SAPP) Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) Moyog telah
melancarkan manifesto pilihan raya umum kali ke-13 di Dongonggon Point, di
sini.
Sebanyak 16 perkara terkandung dalam manifesto itu yang dibacakan
Pengerusi CLC Moyog, Aloysius Danim Siap sempena majlis perasmian pejabat
SAPP CLC Moyog di sini.
Pejabat SAPP CLC Moyog telah dirasmikan oleh Presiden SAPP Datuk Seri
Panglima Yong Teck Lee pada petang Ahad.
Hadir sama, Penasihat SAPP dan mantan Menteri Kewangan Sabah Datuk Mohd
Noor Mansoor, Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar Datuk
Eric Majimbun, Timbalan Presiden merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)
Likas Datuk Liew Teck Chan, Timbalan Presiden Tuan Haji Amde Sidik dan
Pengerusi CLC Moyog Aloysius Danim Siap.
Turut hadir, Setiausaha Agung SAPP Datuk Richard Yong, Bendahari Agung
Dullie Marie, Ketua Penerangan Chong Pit Fah, Ketua Wanita merangkap ADUN
Luyang Melanie Chia, Ketua Pemuda Edward Dagul dan para Ahli Jawatankuasa
Tinggi parti.
Manifesto itu, antara lain, berjanji akan membatalkan projek pembinaan
empangan Kaiduan jika SAPP mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan
negeri Sabah nanti.
SAPP CLC Moyog juga berjanji akan menyelesaikan masalah isu berkaitan Kg
Maang, Tanah Rizab Perkuburan Perkampungan, Pembinaan Sekolah Menengah di
bahagian atas Moyog, Pendatang Asing Tanpa Izin, Pekedai dan Peniaga
Rakyat Asing, Gerai Peniaga Tempatan dan Kesesakan Lalu Lintas.
Manifesto itu turut berjanji akan membina Kolej Komuniti, Pekan Kecil
Moyog, Menaiktaraf Poliklinik Penampang, Pembesaran Pejabat Pos Daerah,
Pusat Pelancongan dan Kraftangan, Pusat Kebajikan Daerah Penampang dan
mewujudkan Industri berasaskan Agro-Pertanian dan Penternakan di samping
memperbanyakkan penyertaan Wanita di dalam pentadbiran Daerah Penampang.
|