BN janji ditetapi atau Janji Retorik?
TENOM, Julai 21, 2012: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah
(SAPP) Pusat Rudy Sulaiman Mairi (gambar) mempertikaikan keikhlasan
kerajaan untuk melaksanakan RCI sebelum pilihanraya umum kali ke-13
(PRU-13) sebagai 'retorik'semata mata untuk mengaburi mata rakyat di
negeri ini daripada terus tertumpu kepada isu penyelesaian masalah PTI
menerusi RCI.
Beliau berkata, tindak tanduk mereka (pemimpin BN) dapat diperhatikan
apabila beberapa alasan dikeluarkan kononnya RCI sudah dilulus tetapi
menunggu TOR (Terms of Reference) siap digubal sebelum pelaksanaan jelas
menunjukkan sifat ketara mereka bahawa ianya suatu permainan 'sandiwara'
Barisan Nasional(BN).
"Saya tidak terfikir RCI sempat dilaksanakan sebelum PRU-13 sepertimana
dikehendaki pemimpin pemimpin pembangkang dan rakyat diperingkat akar umbi...sebaliknya
kerajaan lebih suka berdolak dalih dengan beberapa alasan untuk melambat
lambatkan permainan," kata beliau dalam satu kenyataan disini pada Sabtu.
Tegasnya, sekiranya kerajaan BN benar benar jujur untuk melaksanakan RCI,
tidak ada alasan ianya tidak dapat dilaksanakan kerana kononnya 'masa
terlalu sengkat', sedangkan RCI telah diluluskan kerajaan sejak lebih tiga
bulan yang lalu.
"Nampaknya, Perdana Menteri Dato'Seri Najib sudah lupa ungkapannya pada
setiap kali berucap dihadapan rakyat dimana sahaja dia berada dengan
berkata, kerajaan BN menepati janji untuk rakyat malah dia juga pernah
berkata tema Bulan Kemerdekaan pun kita letak '55 tahun Merdeka janji
ditepati'. Jadi, apakah RCI ini yang sudah dijanjikannya untuk
dilaksanakan atas kehendak rakyat Sabah juga merupakan janji ditepati?,"
tegas Rudy.
"Bilakah kita rakyat diSabah mendapat layanan seadil adilnya dengan slogan
BN janji ditepati ini? Atau...apakah kita terus dimandikan dengan janji
retorik selain kita dihiburkan dengan lakonan lakonan dalam sandiwara
politik BN?....sampai bila kita rakyat Sabah harus berada dalam situasi
itu," tegasnya.
Rudy yang juga merupakan Pengerusi Pergerakan Pemuda SAPP Zon Pedalaman
berkata, kepimpinan pergerakan itu akan terus menjajah isu kegagalan
kerajaan melaksanakan RCI untuk menyiasat pemberian Kad Pengenalan dan
kerakyatan kepada rakyat asing (PTI) menerusi pintu belakang yang
dianggarkan kira kira lebih 600 ribu pemegangnya.
Tambahnya, beliau pasti rakyat terutamanya golongan belia telah memahami
situasi itu dan tidak mungkin mereka akan memilih BN sebagai kerajaan yang
berwibawa dan boleh diharap untuk meneruskan pentadbiran negara
berdasarkan kelemahan kelemahan tersebut.
Oleh: Ambrose M Matthew
|