Sabah perlu tukar kerajaan
KOTA
KINABALU, Julai 29, 2012: Sabah akan ketinggalan jauh dari segi
pembangunan fizikal berbanding dengan negeri-negeri lain di Malaysia jika
Barisan Nasional (BN) terus memerintah, kata Parti Maju Sabah (SAPP).
Naib Presiden SAPP Tuan Haji Jaafar Haji Ismail berkata, Sabah masih
dilanda kemunduran tanpa sebarang pembangunan mapan yang boleh dibanggakan
sehingga ke hari ini. "Contoh jelas ialah keadaan jalan raya dan bekalan
letrik dimana banyak jalan-jalan terutamanya di kawasan luar bandar masih
belum lagi di aspal.
"Bekalan letrik juga masih belum sempurna sehingga ada disetengah-setengah
kawasan tiang lampu sudah terpacak sejak sekian lama tetapi lampunya tidak
hidup kerana bekalan letrik masih belum ada," katanya.
Beliau
berucap pada majlis penyampaian Ole-Ole Hari Raya Aidilfitri dan berbuka
puasa anjuran Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) SAPP Karambunai di
Kampung Chenderamata II, Likas, di sini.
Hadir sama, Presiden SAPP merangkap Pengerusi CLC Karambunai Datuk Seri
Panglima Yong Teck Lee, Penasihat SAPP yang juga bekas Menteri Kewangan
Sabah Datuk Mohd Noor Mansoor, Timbalan Presiden selaku Ahli Parlimen
Sepanggar Datuk Eric Majimbun dan Timbalan Presiden selaku Ahli Dewan
Undangan Negeri (ADUN) Likas Datuk Liew Teck Chan.
Turut
hadir, Penasihat SAPP Awang Talip, Pengerusi majlis Mulkaseh Renda, Ketua
Wanita selaku ADUN Luyang Melanie Chia, Ketua Penerangan Chong Pit Fah dan
Ahli Majlis Tertinggi merangkap Penolong Pengerusi Penganjur Stephan
Gaimin.
Jaafar seterusnya berkata, kemunduran yang melanda Sabah selama ini
berpunca daripada kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri yang dipimpin
Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
Katanya, Musa hanya mementingkan diri sendiri dan ahli keluarga sahaja
serta kroni-kroninya sehingga membelakangkan rakyat yang memerlukan
pembangunan.
Beliau berkata, jalan terbaik untuk mengubah nasib rakyat dan negeri Sabah
ialah dengan menukar tampuk kepimpinan Kerajaan Negeri daripada BN kepada
SAPP.
Manakala, Mulkaseh dalam ucapannya berkata, Kerajaan BN Sabah pada hari
ini tidak berupaya membantu rakyat walaupun jumlah mereka hanya sedikit
sahaja. "Sebagai contoh, nasib malang yang menimpa mangsa kebakaran di
Kampung Chenderamata II sejak April lalu masih belum terbela sehingga ke
hari ini.
"Ada
sesetangah daripada mereka terpaksa tinggal dalam pondok yang dibina di
atas tapak tanah bekas rumah mereka yang terbakar itu. Ada juga yang mampu
membina semula rumah masing-masing tetapi masih belum mendapat bekalan
letrik walaupun pendawaian sudah siap dipasang," katanya.
Katanya, sebanyak 12 rumah musnah dalam kebakaran itu tetapi Kerajaan BN
Sabah masih gagal menghulurkan bantuan yang sepatutnya sehingga ke hari
ini.
"Kira-kira 12 tahun lalu, kebakaran besar telah memusnahkan hampir
keseluruhan kampung ini tetapi dapat dibangunkan semula sehingga menjadi
sebuah perkampungan terindah di bandaraya ini hasil bantuan daripada Ketua
Menteri ketika itu iaitu Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee.
"Ini menunjukkan Teck Lee berupaya membawa perubahan," katanya sambil
menambah, Sabah akan mendapat perubahan yang diinginkan jika SAPP
mengambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri selepas pilihan raya
umum akan datang.
Mulkaseh berkata, rakyat perlu memberi sokongan tidak berbelah bahagi
kepada SAPP pada pilihan raya umum kali ke-13 akan datang agar Sabah dapat
dimajukan seiring dengan keperluan rakyat.
|