Dialog Terbuka Bersama Rakyat
KOTA
KINABALU, 1 Ogos 2012: Parti Maju Sabah (SAPP) sayap Belia, Mudanita dan
GKB (Gerakan Kem Belia) akan menganjurkan Dialog Terbuka dengan tema "Bersama
Rakyat" pada 5 Ogos ini.
Ketua Pemuda Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) SAPP Api-Api selaku
Pengerusi Penganjur, Conan Teo berkata, acara itu akan diadakan selama
kira-kira tiga jam dari 1:30ptg hingga 4:30ptg di Port View Restaurant di
KK Waterfront.
"Fokus utama dialog terbuka dengan tema" Bersama Rakyat " ini akan memberi
tumpuan kepada tiga perkara iaitu, Autonomi, Tadbir Urus dan Ekonomi,"
katanya dalam satu kenyataan di sini.
Katanya, tiga penceramah akan memulakan dialog terbuka itu dengan 10 minit
diperuntukkan kepada setiap penceramah dan diikuti dengan soalan terbuka
dari sesiapa sahaja yang datang pada hari itu.
Pengerusi penganjur bersama, Philicica Tong selaku Ahli Majlis Tertinggi
SAPP dan Ketua Mudanita berkata, SAPP tidak pernah berhenti untuk menjawab
sebarang kemusykilan rakyat.
"Kami adalah pemimpin terlatih dari peringkat bawah dan tahu kebenaran
sentiasa betul, jadi bersama-sama dengan Pemuda SAPP dan GKB, kami telah
menjemput pemimpin-pemimpin parti, Datuk Mohd Noor Mansoor, Datuk Eric
Majimbun, Amde Sidek, Melanie Chia, Don Chin dan Japiril Suhaimin sebagai
ahli panel untuk menjawab sebarang soalan berdasarkan Autonomi, Tadbir
Urus dan Ekonomi," katanya.
Pengerusi penganjur bersama selaku Ketua GKB, Fadizla Noor berkata, dialog
terbuka itu akan bermula dengan tiga penceramah, iaitu Datuk Mohd Noor
Mansoor, seorang bekas Menteri Kewangan Sabah yang akan menyentuh topik
Autonomi.
Katanya, penceramah kedua, Datuk Eric Majimbun selaku Ahli Parlimen
Sepanggar akan menyentuh pada Tadbir Urus manakala Melanie Chia selaku
Ahli Dewan Undangan Negeri Luyang akan menyentuh Ekonomi.
Jawatankuasa Penganjur menggalakkan rakyat Sabah menghadiri dialog terbuka
istimewa ini sekaligus melontarkan sebarang soalan kepada para pemimpin
parti.
Conan Teo juga berkata, bahawa SAPP bersedia mengambil alih tampuk
pentadbiran Kerajaan Negeri Sabah dan sentiasa membuka pintu untuk bertemu
dengan rakyat disamping mengkaji keperluan dan kehendak rakyat Sabah.
|