Jangan terpedaya dengan janji-janji BN
PITAS,
Ogos 13, 2012: Pengerusi CLC N.3 Pitas, Encik Johnes Piut merangkap Ahli
Majlis Tertinggi Parti Maju Sabah (SAPP) menggesa penduduk di Daerah Pitas
supaya tidak terpedaya dengan tipu muslihat kerajaan BN/UMNO Sabah
berhubung tanah adat di Sabah. Dianggarkan seluas 60,000 hektar tanah yang
meliputi Daerah Pitas dan Kota Marudu telah diserahkan kepada syarikat
besar iaitu Syarikat Begaraya Sdn. Bhd.
Sehubungan dengan isu tersebut, beliau menasihatkan penduduk di 27 buah
kampung di Daerah Pitas agar mempertahankan hak asasi mereka ke atas tanah
berkenaan demi menjamin kehidupan mereka dan generasi dimasa akan datang.
Kampung-kampung yang terlibat
dalam kes penyerahan tanah adat itu kepada syarikat ini termasuklah 8
kawasan Pusat Pembuangan Undi (PPU) iaitu Salimpodon, Pingan-Pingan, Rosob,
Seniton, Pinapak, Pandan, Dandun dan Kabatasan yang mempunyai lebih kurang
8,000 orang pengundi berdaftar.
Demikian dinyatakan oleh Encik Johnes semasa mengadakan lawatan bersama
rakyat di Kg. Salungkapit, Pitas pada 3hb. Ogos lalu di rumah kediaman
bekas Ketua Kampung tersebut, Encik Kasalu Umbung bersama-sama dengan
ketua Pengurus Zon Mengundi (PZM) Kg. Dandun, Encik Posising Kimsun dan
ketua PZM Kg. Maliau Encik Mukadan, meminta agar pihak kerajaan BN/UMNO
Sabah menyerahkan kembali tanah-tanah adat tersebut kepada rakyat di
daerah itu sebelum pilihanraya umum ke-13 yang akan datang.
Beliau juga menambah kata bahawa rakyat di daerah ini tidak boleh
dipermain-mainkan lagi dengan janji-janji manis yang seringkali
ditimbulkan setiap kali menjelangnya pilihanraya umun namun tidak
dikotakan. Kerajaan BN/UMNO Sabah juga telah mengkhabarkan bahawa Syarikat
Begaraya Sdn.Bhd. telahpun dibatalkan namun timbul pula syarikat baru
iaitu Asian Forest Tree Consultant (AFC) menjalankan aktiviti sama dengan
kegiatan yang dilakukan oleh syarikat terdahulu.
Encik Johnes turut berkata bahawa jika keadaan pencerobohan tanah adat ini
berlanjutan di Daerah Pitas maka rakyat di daerah ini tidak akan ada tanah
lagi sebagai tempat tinggal mahupun perusahan tanaman dan ternakan pada
masa akan datang. Beliau mengakhiri ucapannya dengan berjanji kepada
rakyat Pitas untuk sama-sama berjuang mempertahankan hak asasi mereka
terutamanya hak tanah adat mereka.
|