SAPP bidas pengurusan Kompleks Sukan Keningau
KENINGAU, Ogos 13: 2012: Parti Maju Sabah (SAPP) berkata kemalangan yang
meragut nyawa seorang pelajar di kolam renang Kompleks Sukan Keningau
tidak mungkin berlaku jika pihak pengurusan meningkatkan tahap keselamatan
di kompleks itu.
Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) Bingkor parti SAPP
Richard Lee berkata, pihak pengurusan kompleks sepatutnya menyediakan
sekurang-kurangnya seorang lifeguard (penjaga keselamatan) setiap kali
kolam renang itu dibuka kepada orang ramai.
"Ini bukan kali pertama trajedi yang meragut nyawa seperti itu berlaku di
kolam renang itu. Beberapa kemalangan maut seumpama itu telah berlaku
sebelum ini.
"Saya tidak faham mengapa pihak pengurusan kompleks itu tidak mengambil
iktibar daripada kemalangan sebelum ini.
"Adakah pihak pengurusan kompleks terus menerus tidak akan meningkatkan
tahap keselamatan di kolam renang itu sehinggalah trajedi lebih buruk
seperti kehilangan banyak nyawa berlaku," katanya sambil menambah
keselamatan awam seharusnya diutamakan.
Richard yang juga Ahli Majlis Tertinggi (SAPP) mengulas trajedi yang
menimpa seorang pelajar lelaki yang dijumpai mati lemas di kolam renang
kompleks itu kelmarin.
Ketua Polis Daerah Keningau DSP Zahari Mohamed berkata, mangsa yang
dikenali sebagai Kenny Yap Shain Fong, 14, adalah seorang pelajar
tingkatan dua SM Ken Hwa di sini.
Zahari dilaporkan akhbar tempatan sebagai berkata bahawa, seorang
kakitangan kompleks sukan itu telah membuat laporan polis pada jam 5.10ptg
selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh seorang kakitangan lain.
Zahari menambah siasatan polis mendapati pelajar malang itu berenang
berseorangan di kolam renang itu ketika kejadian.
Katanya, siasatan polis mendapati kemalangan itu tidak melibatkan sebarang
unsur jenayah.
Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Keningau untuk bedah siasat. |