Papan tanda "Sabah
Merdeka 49 tahun" didirikan
KOTA
KINABALU, 23 Ogos 2012: Parti Maju Sabah (SAPP) telah memasang papan tanda
memaklumkan orang ramai tentang majlis perayaan memperingati hari
kemerdekaan Sabah kali ke-49 pada 31 Ogos ini.
Papan tanda itu telah dipasang diperkarangan ibu pejabat SAPP di Bornion
Centre, Luyang di sini pada hari ini.
Timbalan Pengerusi SAPP Jawatankuasa Perhubungan Kawasan (CLC) Moyog dan
Setiausaha Penganjur, Francis Mojikon berkata, acara itu akan diadakan di
City Park di sini dan akan dimulakan kira-kira jam 2 petang pada 31 Ogos
ini.
"Pemasangan papan tanda itu bertujuan untuk memberitahu rakyat negeri ini
tentang tarikh sebenar Sabah mencapai kemerdekaan.
"Sejarah jelas menyatakan bahawa Sabah diberi kemerdekaan oleh British
pada 31 Ogos 1963 manakala negara Malaysia yang di anggotai Sabah,
Sarawak, Malaya dan Singapura dibentuk pada 16 September 1963.
"Fakta sejarah ini tidak boleh dan tidak akan berubah tetapi nampaknya
Kuala Lumpur cuba mengelirukan rakyat Malaysia terutamanya Sabah tentang
tarikh kemerdekaan.
"Perayaan hari kemerdekaan yang diraikan selama ini termasuk pada tahun
ini iaitu 55 tahun sebenarnya adalah usia kemerdekaan Malaya yang diberi
oleh British pada 31 Ogos 1957 manakala usia kemerdekaan Sabah sebenarnya
49 tahun," katanya.
Beliau berkata, pemasangan papan tanda itu akan dapat memberi maklumat
para penduduk disekitar bandaraya ini tentang usia sebenar kemerdekaan
Sabah.
Katanya, majlis itu nanti bakal menyedarkan rakyat Sabah tentang cubaan
Kuala Lumpur memutarbelit fakta sejarah tentang hari kemerdekaan.
Francis berkata, tema perayaan hari kemerdekaan Sabah anjuran SAPP iaitu
Sabah Merdeka 49 Tahun adalah bertepatan dengan fakta sejarah dan usia
sebenar kemerdekaan Sabah.
Beliau berkata, selama ini Kuala Lumpur telah mengikis kekayaan Sabah
serta tidak menghormati 20 Perkara yang termaktub dalam Perjanjian
Malaysia.
Katanya, tidak cukup dengan itu Kuala Lumpur juga memutarbelit fakta
sejarah terutamanya tarikh sebenar kemerdekaan.
(Gambar - Jawatankuasa Penganjur bersama Francis (empat kanan),
Timbalan Presiden merangkap Pengerusi Penganjur Amde Sidik (lima kanan)
dan Naib Presiden Jimmy Jawatan (enam kanan) merakam gambar dihadapan
papan tanda besar Perayaan Sabah Merdeka 49 Tahun di Borneon Centre,
Luyang, disini)
|