Papan tanda besar Sabah Merdeka 49 disimbah cat hitam
KOTA KINABALU, 27 Ogos 2012: Parti Maju Sabah (SAPP) telah membuat laporan
polis terhadap perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menyimbah cat
hitam terhadap papan tanda besar Sabah Merdeka 49 di Luyang di sini.
Laporan itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Derah Kota Kinabalu di
Karamunsing disini petang hari ini.
Setiausaha Penganjur majlis sambutan memperingati hari kemerdekaan
peringkat Negeri, Francis Mojikon telah memfailkan laporan itu.
"Perbuatan hina menyimbah cat hitam itu merupakan satu perlakuan pihak
pengecut yang takut kebenaran tentang tarikh sebenar Sabah mencapai
kemerdekaan diketahui umum.
"Mengapa harus takut walhal fakta sejarah tidak boleh diubah. Kebenaran
tentang usia kemerdekaan Sabah pasti akan diketahui juga akhirnya.
"Saya pasti perbuatan tidak bermoral itu dilakukan oleh pihak yang tidak
mahu samasekali kebenaran terbongkar," katanya.
Beliau berkata, SAPP pasti pihak polis akan dapat mengesan dalang
disebalik perbuatan tidak bertanggungjawab itu.
Katanya, usaha SAPP menyedarkan rakya tentang tarikh sebenar Sabah
mencapai kemerdekaan dari British sepatutnya disokong semua pihak di
negeri ini dan bukannya dihalang atau disabotaj.
Beliau berkata, tidak menjadi satu kesalahan apabila fakta sejarah
ditegakkan kerana selama ini rakyat Malaysia terutamanya di Sabah telah
disogokkan dengan fakta salah oleh Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Sabah mencapai kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1963
manakala negara Malaysia yang dianggotai Sabah, Sarawak, Malaya dan
Singapura dibentuk pada 16 September 1963.
Katanya, Malaya mencapai kemerdekaan dari British pada 31 Ogos 1957.
"Oleh itu usia sebenar kemerdekaan Sabah ialah 49 tahun begitu juga
Malaysia manakala Malaya pula 55 tahun.
"Sambutan hari kemerdekaan yang diraikan diseluruh negara selama ini iaitu
31 Ogos 1957 merupakan ulangtahun Malaya dan tidak ada kena mengena dengan
Sabah mahupun Malaysia.
"Salahkah jika kebenaran ditegakkan," kata Francis sambil menambah
Kerajaan Persekutuan perlu betulkan kesilapan yang mereka telah lakukan
selama ini.
|