BN punca ramai belia
menganggur
KOTA
KINABALU, 11 September 2012: Parti Maju Sabah (SAPP) berkata jumlah
pengangguran dikalangan belia yang semakin meningkat berpunca daripada
kegagalan dasar ekonomi Barisan Nasional (BN).
Ketua Pemuda SAPP Edward Dagul berkata, puluhan ribu belia Sabah yang
berhijrah ke Singapura dan Semenanjung untuk mencari pekerjaan adalah
kerana kekurangan pekerjaan di Negeri ini walaupun BN telah melancarkan
Koridor Sabah.
"Mana sudah Koridor Pembangunan Sabah yang kononnya menyediakan banyak
pekerjaan kepada rakyat Sabah? siapa yang isi kekosongan ini?
"Mana sudah janji di tepati BN? Hari ini terlalu ramai belia Sabah
menganggur termasuk para graduan lepasan universiti," katanya.
Beliau berkata, pengangguran di Sabah yang meningkat berpunca daripada
kegagalan BN menyediakan pekerjaan yang sesuai kepada para belia.
Katanya, semua angka yang disiarkan dalam akhbar tentang kejayaan
menampung pekerjaan di Koridor Pembangunan Sabah tidak selari dengan apa
yang benar-benar berlaku di industri berkenaan.
Edward berkata, Koridor Pembangunan Sabah tidak menjaga kepentingan rakyat
Sabah tetapi hanya menjaga kepentingan segelintir pihak tertentu sahaja.
Katanya, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr. Maximus
Ongkili selain daripada merayu Kerajaan Singapura supaya menarik balik
atau menyemak semula keputusan melarang peribumi lelaki bawah 35 tahun
dari Sabah dan Sarawak daripada bekerja di Republik itu harus melihat
masalah pengangguran di Sabah terlebih dahulu.
Menurut Edward, belia Sabah terpaksa berhijrah kerana peluang pekerjaan
ditempat sendiri terlalu sedikit.
"Saya nasihat Maximus mendapatkan statistik dari Timbalan Ketua Menteri
selaku Menteri Teknologi Maklumat dan Sumber Manusia Datuk Dr. Yee Moh
Chai tentang jumlah pekerja tempatan yang mendapat manfaat daripada
berbagai sektor di Koridor Pembangunan Sabah.
"Dasar ekonomi Sabah BN gagal mengatasi masalah pengangguran belia di
Sabah," katanya.
Edward juga berkata, SAPP menggesa Kerajaan Persekutuan merayu kepada
Kerajaan Singapura agar menarik balik larangan terhadap pekerja peribumi
lelaki bawah 35 tahun dari Sabah dan Sarawak daripada bekerja di republik
itu.
"Singapura mempunyai sebab tertentu apabila mengambil keputusan melarang
peribumi lelaki bawah 35 tahun dari Sabah dan Sarawak daripada bekerja di
republik itu, namun SAPP berpendapat bahawa Kerajaan Pusat harus merayu
supaya ianya dibuat secara kes demi kes," katanya.
|