49 tahun lalu namun masih terdapat sisa sisa insan terus terpinggir
TENOM, September 12, 2012 - Sesungguhnya kemerdekaan yang sudah dilalui
kira kira 49 tahun lalu namun masih terdapat sisa sisa insan terus
terpinggir tidak menikmati bantuan kerajaan, dimana keadaan penghidupan
mereka bagaikan sebuah bahtera yang belayar dalam suasana gelap gelita
tanpa hala tujuan yang sebenar.
Malahan dalam keadaan terpaksa mereka terus mendiami sebuah rumah dalam
serba kedaifan tanpa disedari pihak berkuasa keperitan hidup mereka namun
kerajaan pula saban hari melaung laungkan slogan mereka ke dalam media
arus perdana seperti "Rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan dan janji
ditepati".
"Saya tidak mendapat apa apa bantuan kerajaan walaupun sudah berulang kali
mengajukan permohonan seperti bantuan rumah mesra rakyat (RMR), bantuan
kebajikan malah jawapan yang diterima amat mengecewakan kononnya saya
tidak layak," tegas Saziman Simin 45, tinggal menetap di Kg Mosolog
menceritakan demikian ketika dilawati Roger Stimin Ahli Majlis Tertinggi
(AMT) SAPP pada Ahad.
Detik mencemaskan dalam pengalamannya apabila tiba musim tengkejuh, beliau
dan keluarganya tidak lelap tidur semalaman kerana bimbang kalau kalau
rumahnya itu diterbangkan oleh angin kencang selain ancaman keselamatan
lain seperti rumah dihempap pokok.
Bagaimana pun beliau bersyukur kerana sedaif mana pun keadaan rumahnya
masih mampu bertahan menghadapi ancaman hujan ribut dan lain lain ancaman.
Saziman yang menghidap penyakit komplikasi seperti diabetes, buah pinggang
dan darah tinggi lebih 5 tahun lalu, terpaksa berulang alik untuk
mendapatkan rawatan ulangan seminggu sekali di Hospital disini menyebabkan
beliau tidak mampu menjalankan kerja kerja berat untuk menjana penghidupan
keluarganya.
Tanpa segan silu, Saziman yang mempunyai 7 orang anak berterus terang
bahawa penghidupan mereka selama ini banyak bergantung kepada sumbangan
masyarakat yang prihatin masalah mereka selain usaha kecil kecilan
isterinya menjaja kueh mueh yang dibantu anak sulungnya yang terpaksa
meninggalkan alam persekolahan setakat tingkatan empat kerana membantu
ibunya.
Ketika ditanya sama ada pernah beberapa pegawai kerajaan mahu pun wakil
rakyat melawat keluarga mereka sebelum ini Saziman berkata tidak pernah
walau pun kakitangan wakil rakyat mereka (tetapi) semasa berkempen
pilihanraya untuk meraih undi pekerja mereka ada datang.
Roger yang diiringi Naib Ketua Pemuda SAPP Pusat Rudy S Mairi dalam
lawatan itu seterusnya berkata, beliau amat kesal malah bersimpati keadaan
Saziman itu yang sepatutnya masalahnya sudah mendapat perhatian kerajaan
sebelum ini dengan memberi keutamaan untuk mendapatkan bantuan seperti
rumah mesra rakyat (RMR).
"Kenapa mereka yang lebih berkemampuan yang terdapat dikampong kampong
lain dengan begitu mudah sekali mendapat bantun RMR...kenapa Saziman pula
tidak dapat? Apakah perbezaan status Saziman dengan mereka yang lain (yang
sudah dapat)," tanya Roger Stimin.
"Kita bukan menjaja isu Saziman semata mata untuk mencari publisiti tetapi
apa yang kita ketengahkan ini adalah ketidak adilan kerajaan mengagehkan
fasiliti kerajaan kepada rakyat yang memerlukan bantuan. Mana dia slogan
mereka Rakyat didahulukan dan janji ditepati?" tambahnya lagi.
Roger berkata, masalah yang dialami Saziman seharusnya pihak kerajaan
memberi perhatian serius malah ianya perlu diberi keutamaan termasuk
pendidikan anak anaknya yang terpaksa terhenti separuh jalan semata mata
membantu keluarganya.
"Rakyat yang bermasalah seperti kes yang dialami Saziman sepatutnya ia
adalah tanggung jawab kerajaan membantunya. Itu sebabnya dalam kerajaan
ada agensi yang dipertanggung jawabkan seperti Jabatan Perkhidmatan Am,
Sosial dan Kebajikan yang mana prosesnya tanpa memilih bulu dan anutan
politik orang yang dibantu itu," tegas Roger.
Oleh: Mail Mathew
|