Kembalikan Sabah kepada rakyat Sabah
Kuala Lumpur telah mengatakan bahawa rakyat Sabah tidak boleh mentadbir
negeri dengan berkesan, kata Joseph Lakai.
English Version please
click here
Regain our lost political autonomy
KOTA KINABALU, September 13, 2012: Autonomi yang diperjuangkan oleh Parti
Maju Sabah (SAPP), parti pembangkang pimpinan bekas ketua menteri Yong
Teck Lee, adalah autonomi untuk rakyat negeri Sabah.
Harapan rakyat yang menuntut autonomi atau 'Sabah sebagai Negeri Merdeka'
mesti sentiasa diucap dan dihati semua pemimpin- pemimpin sebenar di
Negeri Dibawah Bayu ini.
Jika dilihat di kedua-dua belah negeri, jurang politik Sabah dan Malaya (Semenanjung
Malaysia) sangat-sangat berbeza, selain pemimpin-pemimpin Sabah telah lama
dilihat tidak berupaya dan ketakutan dengan mengganggap orang Malaya
sebagai tuan mereka.
Menurut Naib Ketua SAPP Liawan, Joseph Lakai, pemimpin negeri tidak akan
berani bersuara untuk menentang ketidakadilan yang berlaku setiap hari
kepada rakyat Sabah.
"Walaupun jika dilihat mereka bercakap ianya sebagai jeritan pasif ¨C iaitu
asal bercakap dan berkata sesuatu tetapi tidak memberi kesan atau
menggugat," katanya dalam kenyataan akhbar kepada FMT hari ini.
Ia diumpamakan seperti anjing yang sepatutnya menyalak dan mengawal sebuah
rumah daripada pencuri.
Dalam hal ini dilihat anjing tersebut hanya berani menyalak tetapi tidak
berani mendekati dan menghalau pencuri malah hanya menyalak dibelakang
rumah sehingga mudah membenarkan pencuri masuk ke dalam rumah dan mencuri
semua barang-barang.
"Tetapi sekarang, ramai di antara kita telah bangkit dan sedar daripada
tidur. Kita telah diganggu sekian lama dan kini kita harus sedar bahawa
selama ini diri kita dibakar dalam era politik yang baru." Katanya.
Lakai, seorang juruterbang dan penyelidik sambilan 'Progressive Institute
of Public Policy Analysis' (PIPPA) menambah bahawa sekarang rakyat Sabah
harus bersatu dan berani menerima cabaran.
Politik wang
"Disebabkan sudah terlalu lama ahli-ahli politik dalam kancah politik maka
mereka semakin menggila dan secara terang-terangan membeli undi dengan
duit atau juga dikenali sebagai politik wang," katanya.
Konsep perjuangan tradisional, bersungguh-sungguh dan bercita-cita tinggi
untuk kepentingan bersama telah dicantas dengan kepentingan diri dan sifat
tamak. Ini berlaku secara sepantas kilat dan tidak disedari sekian lama.
Sabah sebagai sebuah negeri tidak dapat bergerak seiring dengan sifat
tamak ini maka itulah Sabah yang indah ini semakin bahaya dan menuju ke
arah jalan yang musnah.
"Oleh itu, kita harus tegas dan menghapuskan orang-orang tamak ini bukan
sahaja untuk menjaga kehormatan dan maruah kita sekarang tetapi juga untuk
kebaikan generasi kita yang akan datang dan juga generasi anak-anak kita
agar mereka dianggap mulia, " kata Lakai.
Menurutnya, jika dilihat pada pilihan raya yang lepas, kedua-dua parti
iaitu kerajaan dan pembangkang berusaha bersungguh-sungguh untuk memenangi
hati dan minda rakyat Sabah untuk mendapatkan hak mentadbir negeri.
Beliau menyarankan parti-parti politik harus menghentikan amalan membeli
hati dan minda rakyat dengan pemberian dan projek-projek kecil pada masa
tersebut sahaja. Tetapi pada masa yang sama janji-janji lain tidak
dipenuhi dan hanya meninggalkan kesan buruk dan kecewa di kalangan
masyarakat.
"Ramai rakyat Sabah putus harapan dan kecewa kerana undi mereka tidak sah
dan hak mereka telah di ambil oleh pengundi hantu/ import.
"Perkara ini harus berakhir dan saya percaya masih ada dikalangan kita
yang berintegriti dan boleh membawa harapan baru," ujarnya. SAPP, katanya
mahu politik bersih dan oleh yang demikian pemimpinnya dengan suara yang
lantang pohon agar pilihan raya di Malaysia haruslah bersih dan adil.
Dengan cara ini, orang-orang yang kecewa, marah, dan berasa ketidakadilan
boleh menerima perubahan tanpa persoalan kerana memenuhi kehendak rakyat
dan para pemenang boleh memerintah segera bagi melaksanakan janji-janji
dan manifesto semasa pilihan raya.
Kuasa autonomi
Beliau seterusnya menerangkan bahawa jika Malaya tidak boleh memenuhi
permintaan Sabah secara adil dan munasabah maka rakyat mesti menuntut
kuasa autonomi, bebas dalam Malaysia tetapi bukan meminta untuk berpisah.
"Walaubagaimanapun, jika tuntutan-tuntutan ini terus dipandang remeh oleh
pemimpin kita, maka tiada alternatif lain selain rakyat bersatu dan
berusaha untuk mendapatkan kedaulatan sendiri mengikut syarat-syarat yang
telah dipersetujui pada tahun 1963."
"Pemimpin-pemimpin di Malaya harus membuat pilihan sekarang sebelum
pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kerana selepas PRU13 kuasa adalah pada
rakyat dan bukan pada pemimpin lagi," Lakai menegaskan.
Keputusan yang salah akhirnya akan merugikan Malaya tetapi tidak pada
Sabah kerana Malaya pada masa ini semakin kekurangan sumber untuk
menampung penduduk yang semakin meningkat. Paling kesian (ironi),
pertambahan penduduk ini dirancang untuk kepentingan politik Malaya.
Lakai juga menegaskan bahawa Malaya telah mengambil hak kelahiran rakyat
negeri Sabah.
"Tiada sebab lagi mengapa Sabah perlu merujuk hak sendiri kepada Putrajaya.
Berapa banyak lagi Malaya memerlukan darah daripada kita. Mereka telah
mengambil petroleum dan gas daripada kita. Mereka juga telah mengambil
tanah kita iaitu hak kita sejak lahir."
Menurutnya mereka telah mengenakan dan mengakibatkan kos sara hidup kita
tinggi. Mereka mencekik kita dengan perdagangan dan industri dengan dasar
yang telah disabotaj.
Beliau berkata yang terbaru rakyat Sabah telah dijajah dengan tajuk berita
di akhbar-akhbar tempatan dan negara dengan sejarah yang telah diubah dan
diputarbelitkan.
Selama ini, sejarah telah ditulis hanya untuk memuliakan mereka sendiri
dan untuk mengukuhkan ketuanan mereka ke atas rakyat di Sabah dan Sarawak.
Mereka telah mencemarkan minda anak-anak kita.
"Perkara ini harus dihentikan. Kita mahu sejarah ditulis berdasarkan
kepada fakta dan bukti-bukti kukuh dan bukannya mengikut kehendak
Putrajaya, " Lakai menambah kata.
Agihan kekayaan yang adil
Pemimpin SAPP ini berkata partinya mahu perjuangkan untuk rakyat ekonomi
yang seimbang, pengagihan kekayaan yang adil dan saksama. Jika tidak
mengubah dasar-dasar sedia ada yang berat sebelah, maka rakyat mahu dan
akan menentukan nasib sendiri.
Malaya boleh menyimpan sejarah mereka, mereka boleh terus memutarbelitkan
ekonomi demi membayar hutang-hutang mereka selain mengekalkan populasi
masyarakat mereka demi kepentingan politik mereka. Tapi yang pasti SAPP
mahu Sabah kembali.
"Kami rakyat Sabah berpendidikan dan terpelajar. Kami lebih sesuai dan
lebih layak menjaga hal-ehwal negeri sendiri. Ini tidak boleh
dipertikaikan. Kuala Lumpur telah mengatakan bahawa rakyat Sabah tidak
boleh mentadbir negeri dengan berkesan."
Menurut Lakai, kenyataan seperti ini benar-benar sebagai satu penghinaan
besar pada rakyat Sabah. Paling teruk adalah persetujuan tersirat oleh
kerajaan negeri dan kita tidak dapat berbuat apa-apa selain perlu merujuk
ke Putrajaya.
Beliau menjelaskan SAPP juga tidak akan berkompromi terhadap pendidikan.
Daripada semua kepentingan, ia adalah satu kawalan dan bukannya pada
kebolehan. Menteri yang bertanggungjawab terhadap pendidikan di Sabah
secara terang-terangan mengaku bahawa beliau tiada kuasa. Pengarah
pendidikan pula seperti tunggul. Segala- galanya mesti dirujuk kepada
Putrajaya.
Perjanjian Malaysia 1963
"Hubungan antara persekutuan dan negeri yang kita lihat hari ini adalah
bertentangan dengan yang telah dipersetujui dan dijanjikan dalam
Perjanjian Malaysia 1963. Adakah salah jika kami mahu menuntut kembali
sistem pendidikan kami sendiri?" ujarnya.
Sejak tahun 1965, demi pembinaan bangsa kita telah mengikut kurikulum
kebangsaan dan sepanjang proses itu kita telah mengorbankan 47 tahun
kemajuan sebenar negeri Sabah.
"Tolak ansur dan toleransi kami sejak 47 tahun yang lalu untuk "Sistem
Pendidikan Malaysia" menyebabkan kos daya saing global yang sangat tinggi
bagi tiga generasi di Sabah.
Rakyat Sabah tidak lagi mahu membuat pengorbanan atas nama membina negara
dengan menggunakan hak-hak anak-anak kami," Lakai berkata.
Jika dilihat, sistem pendidikan sekarang tidak ada masa depan yang cerah
dan cemerlang. Pendidikan sangat penting. Kita mesti bebas untuk
menentukan nasib kita sendiri. Kita tidak boleh bertolak ansur mengenai
isu pendidikan ini.
Lakai seterunya berkata sebagai sebuah negara demokrasi, rakyat Sabah
menerima sesiapa sahaja yang datang ke Sabah untuk menubuhkan dan
mengembangkan parti politik mereka.
Walau bagaimanapun, terdapat satu kriteria penting - lagu negeri "Sabah
Tanah Airku" harus dihormati oleh semua parti-parti politik di Sabah.
Beliau menegaskan bahawa bagi setiap parti politik, ini adalah sebagai
ukuran keihklasan anda terhadap masyarakat Sabah yang mana anda berada di
Sabah bukan untuk keuntungan politik untuk diri sendiri.
Tetapi anda berada di sini untuk bekerja dengan rakyat Sabah dan sama-sama
mengembleng tenaga dan usaha untuk menjadikan Sabah Maju Jaya dan terbaik
dengan segala cara yang ada.
Katanya, ini adalah permintaan rakyat Sabah dan salah satu kriteria
penting untuk berada di Sabah. "Sabah Tanah Airku"memberi erti besar dan
merangkumi erti menjadi Rakyat Sabah.
"Nenek moyang kami mencipta dan mengubah lagu negeri ini dan ia membawa
mesej yang sangat bererti kerana niat mereka mesej yang disampaikan akan
menjadi pegangan/doktrin hidup masyarakat Sabah."
"Merdeka Sepanjang Masa" dan "Sabah, Negeri Merdeka" - ini adalah apa yang
ada pada rakyat Sabah. Kami adalah bebas dan kami akan sentiasa bebas,"
Lakai mengakhiri kenyataannya.
Oleh Joseph Bingkasan
English Version please
click here
Regain our lost political autonomy
|