Bangunlah untuk Sabah
Ceramah di Tamparuli
TAMPARULI, 7 Februari 2013: Parti Maju Sabah (SAPP) berkata rakyat harus sedar
bahawa mereka tidak boleh bersandar harapan kepada orang luar untuk
memperjuangkan hak-hak rakyat Sabah.
Timbalan Presiden SAPP Datuk Eric Majimbun berkata masanya sudah tiba bagi
rakyat Sabah sedar dan sekaligus bangun untuk menentukan masa depan negeri
ini yang ditindas Kuala Lumpur sejak 50 tahun lalu.
"Masalah utama di Sabah sejak sekian lama ialah terlalu ramai pendatang
asing menjadi rakyat Sabah segera.
"Pembentukan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja (RCI) hanya memperlihatkan
penafian pemimpin seperti bekas Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohammed,
bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan lain-lain lagi.
"Objektif utama RCI sepatutnya menyelesaikan masalah itu tetapi sudah
terpesong.
"Bagaimanapun, SAPP ada cara untuk menyelesaikan masalah itu iaitu dengan
mengeluarkan Kad Pengenalan Sabah (IC Sabah)," katanya di sini.
Eric selaku Ahli Parlimen Sepanggar, berkata Kuala Lumpur beranggapan
bahawa hanya mereka sahaja dapat menyelesaikan masalah di Sabah.
"Ini merupakan satu penghinaan kepada rakyat Sabah.
"Adakah orang Sabah tidak mempunyai pendidikan dan tidak boleh berdikari.
Angapan seperti ini harus kita hentikan.
"Orang Sabah juga mempunyai maruah dan lebih mengetahui masalah orang
Sabah.
"Oleh sebab itu rakyat harus mengundi SAPP dalam pilihanraya akan datang
kerana hanya parti tempatan yang memahami masalah tempatan," katanya.
Sementara itu, Penasihat SAPP Datuk Mohd Noor Mansur berkata, rakyat Sabah
harus menolak parti Malaya kerana mereka tidak akan memperjuangkan hak-hak
Sabah.
Katanya, pilihanraya umum kali ke-13 akan datang merupakan peluang
keemasan untuk menukar kerajaan demi generasi akan datang.
Terdahulu, Ahli Majlis Tertinggi SAPP Stephan Gaimin berkata, penindasan
Kuala Lumpur terhadap Sabah sudah lama berlaku dan salah satu contoh ialah
perbezaan ketara harga getah diantara Semenanjung Malaysia dengan Sabah.
Katanya, lebih menyedihkan ialah apabila Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS)
yang bertanggungjawab terhadap sector getah di negeri ini tenggelam akibat
kehadiran agensi dari Semenanjung seperti RISDA dan FELCRA.
Katanya, apa yang merisaukan ialah satu hari nanti LIGS dan agensi-agensi
tempatan akan pupus dan digantikan dengan agensi dari Semenanjung.
|