Bumburing digesa minta maaf insiden gelaran 'Huguan Siou' kepada Anwar
TENOM,
Februari 20, 2013: Naib Ketua Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP)
Pusat Rudy Sulaiman Mairi (gambar), mendesak Presiden Angkatan Perubahan
Sabah (APS) Datuk Seri Panglima (DSP) Wilfred Mojilip Bumburing agar
meminta maaf kepada masyarakat KDM terhadap insiden menobatkan Dato'Seri
Anwar Ibrahim sebagai 'Huguan Siou' semasa lawatannya ke Ranau baru baru
ini.
Beliau berkata, Bumburing perlu bertanggung jawab selaku bagi pihak Anwar
dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana apa yang berlaku itu merupakan
suatu pencabulan terhadap kemulian adat Istiadat suku kaum KDM dimana
Bumburing sendiri telah menyedarinya tetapi enggan berbuat demikian (meminta
maaf).
"Gelaran 'Huguan Siou' hanya terpakai kepada pemimpin tertentu sahaja
khususnya pemimpin KDM yang terlayak sekali...ia sepatutnya tidak boleh
dipersendakan apatah lagi jika ia dipolitikkan sekadar ingin bermuka muka
dengan bosnya.
"Walaupun saya berugama Islam namun bangsa adalah Murut tulen (jadi), saya
terpanggil untuk membuat gesaan ini supaya Bumburing yang suatu ketika
dahulu disegani sebagai salah seorang pemimpin KDM yang baik, akan terus
kekal ditakhta itu," tegas Rudy ketika memberitahu Harian Ekspress pada
Rabu.
Rudy berkata, meskipun desakan demi desakan telah dibuat agar Bumburing
dan rakan rakannya dalam kesilapan itu untuk meminta maaf kepada
masyarakat KDM namun disebaliknya mereka terus berdegil dimana ianya boleh
disifatkan sebagai suatu perbuatan sengaja yang bertujuan untuk
menggoreskan perasaan masyarakat KDM.
"Sekiranya pihak pihak yang terbabit merasakan bahawa insiden seperti itu
tidak terniat mahupun bukan disengajakan, tidak mungkin perkara meminta
maaf dengan masyarakat KDM terlalu sukar untuk diungkapkan demi
mengelakkan salah faham malah menghormati kesucian adat istiadat KDM.
"Tetapi, jika mereka mengambil sikap sebegitu rupa maka jelaslah kepada
kita niat mereka yang sebenarnya...dengan ertikata lain agar masyarakat
KDM dimana sahaja, perlu menjauhi mereka kerana tidak menghormati adat
Istiadat yang diturunkan nenek moyang masyarakat KDM sejak zaman berzaman,"
tambanya lagi.
Dalam ertikata yang sebenarnya, sama ada Anwar atau Bumburing diharuskan
membayar 'Sogit' kepada seluruh keturunan KDM kerana penghinaan itu yang
melibatkan kesucian gelaran 'Huguan Siou' diperlekehkan secara sembarangan.
Oleh: Mail Mathew
|