BN gagal bangunkan Beaufort
BEAUFORT,
Mac 4, 2013: En. Thomas Chong Dat Kueen, Naib Pengerusi SAPP Klias berkata,
tidak banyak perubahan yang boleh dibanggakan oleh BN di Beaufort
sebagaimana yang mereka war-warkan. Ianya hanyalah indah khabar dari rupa.
Menurutnya lagi semua perancangan pembangunan nampaknya menemui kegagalan
apabila beberapa bangunan tidak diguna dan disedia sepenuhnya. Beliau
berkata kemajuan pembangunan dengan terdirinya kedai baharu dan perumahan
baharu sebenarnya merupakan pelaburan para pemaju hartanah yang tidak
memerlukan modal kerajaan. Pihak kerajaan hanya meluluskan pelan bangunan
dan memastikan semua aspek dipatuhi oleh pihak pemaju. Menurut Thomas,
pemimpin BN hanya tahu menggunakan alasan, ekonomi baik hasil kerja tangan
kerajaan, sedangkan ianya berlaku sebaliknya.
Kerana itu katanya, BN sebenarnya tidak boleh mendabik dada atas isu
berkenaan. "Projek kerajaan sebenarnya gagal, contohnya Pasar Am di
tingkat 3, sekarang tidak digunakan, pasar ikan hanya 3 peniaga, lain meja
kosong"
Menurut beliau lagi projek seperti ini menelan kos berjuta ringgit tapi
tidak berfungsi sepenuhnya dan pekan Beaufort sepertinya tidak terancang
dengan peniaga menjual di kawasan letak kereta dan kakilima dipenuhi
dengan penjaja rokok serta menjual sayur di tangga kedai. Menurut beliau
ada diantara peniaga ikan sudah berhenti menjual ikan di pasar kerana
mendapati tiada pulangan modal dan menanggung kerugian akibat peniaga lain
mula menjaja di luar menggunakan kenderaan. Menurut beliau, pihak PBT
seharusnya membawa semua peniaga ini dipremis yang disediakan. Akan tetapi
ada juga mengatakan mereka tidak dapat masuk berniaga di pasar ikan kerana
tidak ada lagi gerai kosong.
"Ini tidak sehat untuk Beaufort, lama-lama kita seperti Bandar lain di
Sabah, bagaimana mungkin tidak ada lot kosong di pasar ikan sedangkan
sekarang hanya 3 peniaga yang aktif, boleh lawat sendiri kalau tidak
percaya!"
Katanya lagi pihak berkuasa tempatan juga gagal membendung kegiatan
perniagaan tidak berlesen di kaki lima kedai, sebaliknya pula lebih
berusaha untuk menyukarkan peniaga yang menyokong pihak pembangkang.
Beliau mengambil contoh, rungutan seorang peniaga di kawasan pasar malam
beaufort jaya yang diarah untuk membuka struktur sementaranya. Tindakan
serupa tidak diambil kepada penyokong BN.
"Ini sesuatu yang tidak adil kepada para peniaga, mereka cari rezeki bukan
berjuta ringgit sehari, mereka pun membayar pinjaman dan menyara kehidupan
keluarga", kata Thomas
Apatah lagi katanya masih banyak kes terdahulu yang belum diambil apa-apa
tindakan oleh pihak berkuasa tempatan dan wakil rakyat juga gagal
memastikan implimentasi kepada dasar PBT hanya kerana faktor politik.
"Sepatutnya pihak PBT tidak mengecualikan mana-mana pihak kalau mau ambil
tindakan, bukan pilih kasih"
Beliau mengambil contoh masih ada kedai menjual alat ganti terus
menjalankan perniagaan bagi kerja-kerja membaiki kereta di kawasan letak
kenderaan awam sedangkan sudah terdapat arahan melarang perbuatan demikian.
Keadaan sesak dan kesukaran meletak kenderaan seharusnya telah diambil
kira oleh PBT, kata beliau lagi. Beliau mengesyorkan agar pihak PBT
bertindak lebih profesional dan tidak mengamalkan tindakan kerana arahan
politik pihak tertentu. Sementara bagi membolehkan bangunan yang dibina
dapat digunakan sepenuhnya, beliau mencadangkan agar pihak PBT membuat
kajian lebih terperinci dan memaksimumkan penggunaan bangunan yang menelan
kos pembinaan yang besar termasuk kos penyeliaan dan pembersihan.
|