KL bersalah masalah keselamatan di Sabah
KOTA
KINABALU, 15 Mac 2013: Kuala Lumpur patut dipersalahkan terhadap kes
pencerobohan militan Sulu kerana tidak pernah memenuhi tanggungjawab
mengenai aspek keselamatan di Sabah terutamanya di Lahad Datu.
Bekas Ketua Polis Daerah Lahad Datu Kamis Daming berkata, Kuala Lumpur
tidak melayan sebarang cadangan dan permintaan untuk menaik taraf
keselamatan di Lahad Datu.
"Semasa saya bertugas di Lahad Datu lima tahun lalu, saya sering
menyuarakan kebimbangan kepada pegawai atasan tentang kemungkinan
berlakunya pencerobohan pihak luar.
"Pada masa itu pihak atasan hanya memandang ringan cadangan-cadangan dan
pemintaan-permintaan kami bagi meningkatan langkah-langkah keselamatan di
Lahad Datu," katanya di sini.
Kamis berkata, polis daerah Lahad Datu serba kekurangan kerana tidak
dibekalkan dengan kelengkapan logistik yang mencukupi.
Katanya, kenderaan pacuan empat roda sering rosak manakala bot-bot peronda
uzur.
Beliau berkata, lebih menyedihkan lagi polis Lahad Datu sering menghadapi
masalah kekurangan bekalan bahan bakar kerana pembekal enggan menghantar
bekalan sebab banyak hutang belum dibayar.
Kamis berkata, jumlah anggota jauh daripada mencukupi manakala ada
pegawai-pegawai dan anggota terpaksa menyewa di luar kerana tidak
disediakan dengan berek.
Menurut Kamis, ada kalangan anggota-anggota bawahan di balai polis Tungku
terpaksa tinggal di berek uzur dengan lantai yang berlobang-lobang
manakala atap bocor sebab tidak ada rumah untuk disewa.
"Apabila ibu pejabat polis daerah Lahad Datu memohon peruntukan untuk
pembaikan, Ibu Pejabat memaklumkan bahawa peruntukan belum ada.
"Keadaan persekitaran seperti ini telah melemahkan semangat para anggota
bawahan," katanya, sambil melontarkan persoalan "Apa yang boleh
dijangkakan daripada mereka?.
Kamis seterusnya berkata, beliau menyokong kenyataan Presiden Parti Maju
Sabah (SAPP) Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee yang membidas Perdana
Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkenaan kes pencerobohan itu.
Teck Lee berkata kenyataan Najib bahawa insiden pencerobohan itu telah
menyedarkan negara adalah sesuatu yang sudah terlambat kerana dalam jangka
masa panjang kerosakan teruk telah berlaku terhadap Sabah.
Menurut Teck Lee, banyak isyarat telah diberikan sejak berdekad lalu
tetapi Kuala Lumpur tidak memperdulikannya sehingga semuanya sudah
terlambat.
Katanya, SAPP sudah lama mendesak Kuala Lumpur agar mengambil tindakan
wajar menyelesaikan masalah pendatang asing di Sabah disamping mewujudkan
kemakmuran dan kestabilan berpanjangan di wilayah timur BIMP-Asean selain
memenuhi tanggungjawab Malaysia terhadap keselamatan Sabah seperti yang
dijanjikan ketika Malaysia ditubuhkan dahulu.
|