"Saya tidak akan khianati rakyat Sabah"
KOTA
KINABALU, April 24, 2013: "Saya tidak akan mengkhianati kepercayaan rakyat
Sabah walau apapun yang berlaku," kata Presiden Parti Maju Sabah (SAPP),
Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee dalam ceramah kempennya di Luyang,
semalam.
Beliau mengulangi pendirian bahawa beliau dan partinya tidak akan kembali
ke pangkuan Barisan Nasional walau apapun keputusan pilihan raya nanti.
Ini katanya, kerana beliau tidak mahu mengkhianati kepercayaan dan
sokongan yang diberikan oleh rakyat kepadanya.
Sehubungan itu, Yong yang juga bekas Ketua Menteri Sabah, menggesa rakyat
untuk memeriksa dan menganalisis dengan penuh bijaksana fakta dakwaan
sesetengah pihak lawannya yang menuduhnya seolah-olah mensabotajkan
kepercayaan itu.
Beliau mengulas khabar angin daripada dua bekas pemimpin SAPP yang
mendakwa beliau menerima sebahagian dari RM80 juta daripada Datuk Seri
Musa Aman yang diagihkan kepada parti pembangkang untuk memecah belah undi
pengundi. Yong dengan sekeras-kerasnya menafi menerima sebarang wang
daripada Musa.
"Saya minta rakyat supaya memeriksa dakwaan itu dan berfikir dengan waras
adakah Musa akan bertindak bodoh dengan membiayai lawannya sendiri,"
katanya.
Dipercayai, dua bekas pemimpin SAPP, Ketua DAP Sabah, Jimmy Wong dan Hiew
King Cheu mendakwa Yong menerima sebahagian daripada wang RM80 juta yang
diagihkan oleh Musa kepada parti lawan di negeri ini.
Jimmy Wong akan bertanding atas tiket DAP bagi kerusi Parlimen Kota
Kinabalu dan Hiew kerusi negeri bagi Luyang.
Kata Yong, Sabah memerlukan pemimpin yang berani dan berpengalaman untuk
membangkitkan masalah-masalah penduduk tempatan seperti masalah pendatang
tanpa izin, pemberian IC dan sebagainya.
"Masalah-masalah ini perlu ditangani dengan berani dan berkesan kerana ia
sudah lama menghantui ketenangan rakyat. Rakyat tidak berpuas hati dengan
cara kerajaan menangani isu ini kerana ia menjejaskan semua aspek
kehidupan rakyat Sabah," katanya.
SAPP adalah parti berbilang kaum yang bertapak di Sabah. SAPP didaftarkan
pada 21 Januari 1994 selepas diasaskan oleh Datuk Yong Teck Lee. SAPP
asalnya adalah parti komponen BN. Ia meraih dua kerusi parlimen (Sepanggar
dan Tawau) dalam pilihan raya pada 8 Mac 2008. Ia lantang menuntut kuasa
autonomi untuk Sabah dan penyelesaian masalah pendatang haram serta
pemberian IC kepada bukan warganegara.
Sehubungan itu, beliau meminta mandat daripada pengundi untuk membentuk
kerajaan yang akan bertindak adil, telus dan dapat menghapus rasuah.
Untuk mengenali perjuangan parti, Datuk Yong mengajak pengundi-pengundi
untuk bertanyakan apa saja soalan kepadanya dalam mana-mana ceramah yang
akan dianjur oleh SAPP.
Sementara itu, di majlis yang sama, calon Parlimen SAPP bagi Sepanggar,
Chin Hon Kiong berkata, kerajaan BN membohongi rakyat Sabah apabila
berkata yang mereka akan menghormati dan melaksanakan 20 Perkara dalam
Perjanjian Malaysia.
"Sebenarnya BN langsung tidak menghiraukan Perjanjian itu. Mereka tidak
jujur dalam memberikan layanan yang adil dan saksama kepada rakyat Sabah.
Oleh itu, saya gesa rakyat supaya tidak lagi mempercayai janji-janji
kosong BN."
Contoh pembohongan itu katanya ialah, Manifesto BN tidak menyebut mengenai
Dasar Cabotage yang menyebabkan kos taraf hidup penduduk Sabah antara yang
tertinggi di Malaysia dan ini menunjukkan BN/UMNO tidak pernah serius
menyelesaikan masalah membabitkan kos taraf hidup penduduk di negeri ini.
Najib sebelum ini berjanji memberikan peruntukan terbesar iaitu lebih
daripada 20% royalti minyak bagi Sabah yang dijanjikan oleh parti
pembangkang, di mana Chin mempersoalkan bahawa kerajaan persekutuan
bertanggungjawab untuk memperuntukkan dana pembangunan kepada setiap
negeri dan ini tiada kena mengena dengan 20% royalti minyak yang dituntut
oleh pihak pembangkang.
"Najib sebenarnya sekali lagi cuba memperdaya rakyat sekali," katanya.
Katanya, jika SAPP mendapat mandat daripada rakyat selepas Pilihan Raya
Umum pada 5 Mei, ia akan menepati semua janji-janji dalam Manifesto yang
sudah dirangka seperti reformasi membabitkan tanah, memansuhkan
undang-undang NCR yang dibuat oleh kerajaan BN, mengeluarkan semula geran
itu dari 99 kepada 999, Autonomi Sabah dan masalah pengeluaran IC Sabah.
Menurut Chin, kerajaan BN tidak pernah serius untuk menyelesaikan masalah
pengeluaran Projek IC walaupun selepas bekas Perdana Menteri Tun Mahathir
mengaku terbabit. BN tidak pernah memberi sebarang cadangan untuk
menyelesaikan masalah itu dan menggunakan RCI untuk melengahkan ia
daripada diselesaikan.
|