Yong ulangi SAPP tidak akan kembali ke pangkuan BN
KOTA
KINABALU, April 26, 2013: Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong
Teck Lee mengulangi pendirian bahawa beliau dan parti itu tidak akan
kembali ke pangkuan Barisan Nasional (BN) tanpa mengira apakah keputusan
Pilihan Raya Umum ke-13 nanti.
Yong berkata, beliau tidak akan mahu mengkhianati kepercayaan dan sokongan
yang di berikan oleh rakyat kepadanya selama ini.
Beliau mengulas dakwaan dua bekas pemimpin SAPP, Ketua DAP Sabah Jimmy
Wong dan Hiew King Cheu bahawa beliau menerima sebahagian dari RM80 juta
daripada Datuk Seri Musa Aman yang di agihkan kepada parti-parti
pembangkang untuk memecah belah undi pengundi.
Menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu, beliau menggesa rakyat untuk
memeriksa dan bijak menilai tuduhan seumpama itu yang beliau sifatkan
seolah-olah mensabotaj kepercayaan rakyat kepadanya.
"Saya minta rakyat supaya memeriksa dakwaan itu dan berfikir dengan waras
adakah Musa akan bertindak bodoh dengan membiayai lawannya sendiri,"
katanya.
Kata Yong, Sabah memerlukan pemimpin yang berani dan berpengalaman untuk
membangkitkan masalah penduduk tempatan seperti kebanjiran pendatang tanpa
izin, pemberian kad pengenalan dan sebagainya.
"Masalah-masalah in perlu di tangani dengan berani dan berkesan kerana ia
sudah lama menghantui ketenangan rakyat. Rakyat tidak berpuas hati dengan
cara kerajaan menangani isu ini kerana ia menjejaskan semua aspek
kehidupan rakyat Sabah," katanya lagi.
Yong menambah, SAPP yang di asaskannya pada 21 Januari 1994 adalah sebuah
parti tempatan berbilang kaum dan lantang menuntuk kuasa autonomi untuk
Sabah dan penyelesaian masalah pendatang haram serta pemberian kad
pengenalan kepada bukan warganegara.
SAPP asalnya adalah parti komponen BN dan meraih dua kerusi parlimen (Sepanggar
dan Tawau) dalam Pilihan Raya Umum 2008.
Sehubungan itu, beliau meminta mandate daripada pengundi untuk membentuk
kerajaan yang akan bertindak adil,telus dan dapat menghapus rasuah.
Sementara itu, calon Parlimen SAPP bagi Sepanggar, Chin Hon Kiong berkata,
kerajaan membohongi rakyat Sabah apabila mengatakan mereka akan
menghormati dan melaksanakan 20 Perkara dalam Perjanjian Malaysia.
"Sebenarnya BN langsung tidak menghiraukan Perjanjian itu. Mereka tidak
jujur dalam memberikan layanan yang adil dan saksama kepada rakyat Sabah."
Tambahnya, Manifesto BN juga tidak menyebut mengenai Dasar Kabotaj yang
menyebabkan kos taraf hidup penduduk Sabah antara yang tertinggi di
Malaysia.
Chin mempersoalkan janji memberikan peruntukan terbesar iaitu lebih
daripada 20 peratus royalty minyak bagi Sabah yang dijanjikan oleh parti
pembangkang.
Katanya, kerajaan persekutuan bertanggungjawab untuk memperuntukkan dana
pembangunan kepada setiap negeri dan ini tiada kena mengena dengan 20
peratus royalty minyak yang dituntut oleh pihak pembangkang.
|