Rakyat benci Sabah dijadikan simpanan tetap (Fixed Deposit)BN
KOTA KINABALU, April 30, 2013: Walaupun Barisan Nasional sudah berulang
kali menyatakan Sabah sebagai simpanan tetapnya (fixed deposit), namun
dari segi psikologi ia adalah tuntutan yang amat menghina perasaan
sebahagian rakyat Sabah yang enggan dikaitkan dengan kerajaan pemerintah
itu.
Facebook adalah saluran informasi yang ketara menunjukkan perasaan
tersinggung yang membuak-buak penduduk negeri ini mengenai tuntutan
kerajaan pusat itu. Ramai membuat komen tidak suka dengan gelaran itu
kerana menganggap ia sebagai tidak membawa apa-apa makna kepada penduduk
Sabah.
"Apa gunanya kita dalam Malaysia kalau kita hanya dijadikan simpanan tetap?
Apakah makna semua ini? Kita mahukan perubahan dan bukan dijadikan
simpanan tetap oleh kerajaan pusat," demikian komen seseorang kawan di
Facebook meluahkan perasaan kecewanya.
Perasaan yang sama dikongsi ramai penduduk di negeri ini.
Satu lagi komen di Facebook berbunyi: "Umno/BN ini yakin betul bercakap
sebab Sabah kaya dengan banyak sumber semulajadi. Tetapi ironinya, kenapa
Sabah masih yang termiskin di Malaysia? Kenapa banyak jalan raya di Sabah
masih berlubang? Kenapa ramai tidak mendapat peluang pekerjaan dalam
sektor awam?"
Lebih ramai bertanyakan apa yang akan dibuat kerajaan untuk menyelesai
masalah pendatang tanpa izin, kenapa jumlah mereka semakin ramai dan apa
akan berlaku kepada isu pencerobohan bersenjata di Lahad Datu.
Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee mahu memperjuangkan rasa tidak
puas hati penduduk ini. Beliau akan bertanding bagi kerusi Kota Kinabalu
dalam pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei ini.
Katanya, sekali lagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menghina
rakyat negeri ini apabila menyebut semula Sabah sebagai fixed deposit,
yang dianggapnya sebagai tidak sensitif kepada perasaan penduduk di negeri
ini.
"Najib tidak sensitif dan kenyataannya itu adalah satu penghinaan kepada
rakyat Sabah," katanya ketika mengulas kenyataan PM Malaysia yang berkata,
negeri ini akan kekal sebagai fixed deposit Barisan Nasional.
Menurut Najib, Sabah masih kekal sebagai fixed deposit BN dan 13 anggota
parti komponen menyokongnya sebulat suara , termasuk penduduk di kawasan
pedalaman. Najib yang berkempen di Tenom juga menolak dakwaan gelaran
sebagai fixed deposit itu semakin lemah.
Menurut Yong, kenyataan Najib itu tidak sensitive dan menghina rakyat
Sabah kerana majoriti percaya ia hanyalah pemanis pihak BN untuk mengabui
mata rakyat supaya mereka mendapat lebih banyak undi, nanti.
"Namun, rakyat sudah faham dengan mainan BN. Rakyat tidak percaya kepada
simpanan tetap sebab ia tidak membawa apa-apa makna jika Sabah masih tetap
menjadi negeri termiskin di Malaysia," kata bekas Ketua Menteri Sabah ini
yang pernah meramalkan bahawa BN tidak akan lagi dapat menggelar Sabah
sebagai fixed deposit selepas pilihan raya nanti.
Halatuju ekonomi dan dasar-dasar sosial dan politik yang tidak stabil di
Sabah akan menjejaskan keputusan pilihanraya umum kali ini. Antara isu
yang membebankan rakyat tetapi tidak pernah ditangani ialah isu kehadiran
ramai pendatang tanpa izin yang membawa kepada pemberian kad pengenalan
dan sekaligus menggunakan IC itu untuk mengundi. 'Pengundi hantu' ini
biasanya mengundi pihak pemerintah.
Selain itu, SAPP juga turut menyuarakan perasaan gusar pengguna di negeri
ini mengenai harga barang-barang yang lebih tinggi berbanding dengan di
Semenanjung Malaysia, walaupun kerajaan BN berjanji untuk menyelesaikannya.
Harga barang-barang sentiasa naik tetapi gaji sebilangan besar penduduk
Sabah masih di tahap yang sama. Kenaikan gaji minimum sehingga RM800 di
negeri ini tidak memberi banyak beza kepada penduduk yang masih dibebani
dengan harga minyak dan kos perkhidmatan yang tinggi.
"Apa guna negeri ini jadi fixed deposit jika pemimpin-pemimpin Barisan
Nasional masih sibuk berperang untuk melindungi kepentingan diri sendiri
dan bukannya untuk kebajikan rakyat," kata Yong.
Yong melihat trend tidak puas hati di kalangan penduduk berpendapatan
rendah dan sederhana di negeri ini akan memberi kelebihan kepada SAPP dan
pihak pembangkang lain. Mereka akan mengundi parti yang mendengar keluhan
mereka.
Persoalannya sekarang ialah: "Adakah Sabah menjadi begitu penting bagi BN
hanya apabila mereka mahukan kuasa? Adakah Sabah kini penting sebagai
fixed deposit sebab Sabah kaya dengan sumber-sumber semulajadi dan
menggunakan kekayaan itu untuk membiayai negeri-negeri lain dan selepas
itu membiarkan Sabah sebagai negeri paling miskin dalam Malaysia?
Yong mempersoalkan apa yang akan dilakukan oleh kerajaan untuk menjaga
kebajikan dan kepentingan rakyat Sabah, masalah sosial dan ekonomi,
masalah pendatang haram dan kemunduran dari segi pembangunan. Adakah Sabah
hanya penting kerana BN perlukan kuasa politik mereka di sini dan
sumber-sumber semulajadi Sabah?
Setiap kali diadakan pilihan raya, pemimpin dari persekutuan akan datang
di Sabah secara berduyun-duyun setiap minggu kerana mereka sedar Sabah
adalah genting untuk mereka kekal berkuasa di Putrajaya.
Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan status Sabah sebagai simpanan tetap
Barisan Nasional (BN) tidak pernah berubah termasuk pada pilihan raya umum
akan datang.
Perdana Menteri berkata, keyakinan itu berdasarkan kepada sambutan hangat
yang diterimanya sepanjang mengadakan lawatan dua hari ke negeri ini
bermula semalam.
"Siapa kata simpanan tetap kita sudah cair? Tidak, masih kekal... Simpanan
tetap kita masih kekal dan kukuh lagi," katanya.
|