KOTA KINABALU, November 19, 2013: Mahkamah Rayuan pada Isnin mengenepikan
keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah Parti Maju Sabah (SAPP) dan
Presidennya Datuk Yong Teck Lee untuk membayar RM1 juta kepada bekas ketua
menteri Tan Sri Harris Salleh kerana memfitnah berhubung tragedi 'Double Six'.
Hakim-hakim Datuk Linton Albert, Dato' Anatham Kasinather dan Dato' Seri Zakaria
Sam dalam keputusan sebulat suara mereka, membenarkan rayuan oleh SAPP dan Yong
dengan kos RM150,000 selepas mendengar hujahan daripada kedua-dua pihak.
Mahkamah juga memerintahkan Harris membayar balik jumlah yang sudah dibayar
dalam tempoh dua minggu bermula Isnin.
Peguam Datuk Simon Shim, yang mewakili Yong dan parti itu, terdahulu memaklumkan
mahkamah bahawa jumlah penuh termasuk faedah sudah dibayar oleh Yong kepada
Harris.
Yong, yang juga bekas ketua menteri, dan parti itu merayu terhadap keputusan
Mahkamah Tinggi.
Shim membangkitkan dua perkara dalam rayuan itu, iaitu hakim Mahkamah Tinggi
terkhilaf berhubung Yong gagal menentusahkan kebenaran pendedahan ucapan oleh
Tengku Razaleigh Hamzah dan hakim juga terkhilaf sepenuhnya dalam mengabaikan
semua keterangan muhibbah oleh Yong terhadap Harris.
Pada 29 Februari, 2012 Harris memenangi saman fitnah terhadap SAPP dan Yong
kerana memfitnahnya bahawa beliau terlibat dalam dalam menyebabkan tragedi
Double Six yang membunuh Tun Fuad Stephens dan semua yang berada di dalam
pesawat Nomad pada 6 Jun, 1976.
Hakim Mahkamah Tinggi Dato' Abdul Rahman Sebli memerintahkan Yong dan SAPP
membayar ganti rugi RM1 juta kepada Harris.
Harris, yang memfailkan writ saman pada 19 Julai, 2010, menuntut ganti rugi am,
teruk dan teladan tidak kurang dari RM50 juta daripada Yong, yang beliau namakan
sebagai defendan pertama dan SAPP sebagai defendan kedua, kerana memfitnah.
Peguam Yunof Maringking dan Trevor Maringking mewakili Harris pada Isnin.
Sementara itu, Yong apabila ditemui di luar mahkamah selepas prosiding berkata,
mereka gembira keputusan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada mereka.
"Kami sudah menunggu untuk perkara ini sejak lama," kata Yong, yang ditemani
oleh anggota dan penyokong SAPP.
Oleh Jo Ann Mool
|