|
KOTA KINABALU, September 26, 2014: Presiden SAPP Datuk Yong Teck Lee berkata Ketua DAP Sabah, Jimmy Wong
harus berhenti berpura-pura mengenai kes fitnah terhadap rakannya, Junz
Wong.
Beliau berkata Jimmy harus, pertama sekali, meminta Junz bertaubat dan
meminta maaf atas pembohongannya mengenai “rasuah RM50 juta” dan “Projek
M” terhadap Yong dan SAPP.
“Jimmy Wong pastinya tahu dakwaan “rasuah RM50 juta” dan “Projek M” yang
dibuat oleh Junz terhadap SAPP dan saya adalah pembohongan jelas dan
berniat jahat. Kalau Jimmy, yang kenal saya hampir 40 tahun, berfikir
bahawa tuduhan serius Junz itu bukan satu pembohongan, maka beliau tentu
tidak bercakap mengenai membuat pakatan dengan SAPP,” kata Yong, seorang
bekas Ketua Menteri.
Katanya, jika Junz ikhlas mahu menyelesaikan kes itu, beliau harus
mengarahkan peguamnya untuk apa yang perlu untuk pengantaraan mahkamah
yang telah pun ditetapkan untuk bulan depan.
“Bercakap politik remeh di media tidak sesuai untuk penyelesaian. Usaha
saya sebelum ini untuk membatalkan kes fitnah terhadap DAP sebagai parti
menemui halangan daripada Junz yang berkeras mahukan kos tinggi. Bayangkan,
betapa tidak masuk akal tindakan Junz yang mahu menyusahkan lagi saya
untuk membatalkan kes terhadap partinya?” kata beliau.
Katanya, begitulah sikap pemimpin DAP yang kini berani menuntut beliau
membatalkan kesemua empat kes terhadap Junz, satu-satunya defendan yang
tinggal,selepas DAP menafikan bertanggungjawab atas artikel menyinggung
perasaan yang dibuat dan disiarkan kerana tindakan Junz.
“Jimmy juga tidak ikhlas mengenai DAP berbudi baik sehingga tidak menuntut
kos RM4,500. Malah, bulan lepas, Junz mengarahkan peguamnya menghantar
satu Surat Tuntutan kepada peguam saya untuk saya membayar RM4,300 (bukan
RM4,500) dalam tempoh tujuh hari, dan jika gagal, peguamnya akan
meneruskan tindakan terhadap saya tanpa sebarang notis lanjut,” kata Yong.
“Sebab itulah saya menggesa Jimmy dan rakan-rakan DAPnya untuk berhenti
berbohong dan bermain politik lakonan. Sebaliknya, Jimmy dan Junz harus
berkhidmat saja kepada rakyat yang memilih mereka,” tambahnya.
|