|
SANDAKAN,
October 2, 2014: Parti Maju Sabah (SAPP) gesa penyewa PTI diusir, tuan
rumah diambil tindakan ... Ketua Pemuda SAPP Sandakan, Shahrizan bin
Jainal berkata, tindakan perlu diambil oleh agensi-agensi penguatkuasa
undang-undang untuk mengusir pendatang tanpa izin daripada kawasan
perumahan sebuah flat yang sebelum ini dikenali sebagai kuarters TM,
bersebelahan Bandar Maju di Batu 1 1/2 Jalan Utara.
Shahrizan menerima aduan daripada penduduk tempatan di flat berkenaan
bahawa pendatang tanpa izin dibawa ke kawasan tersebut oleh seorang
individu untuk mendapatkan keuntungan dan tenaga kerja.
Menurut penduduk tempatan ini, sekurang-kurangnya 3 unit kabin teres di
hadapan flat-flat berkenaan disewakan kepada pendatang tanpa izin oleh
individu tersebut tanpa urusan rasmi. Individu tersebut berbohong untuk
mempertahankan pendatang-pendatang tanpa izin ini sebagai pekerja
pembersihan di bangunan TM bersebelahan flat.
Penduduk-penduduk tempatan berkata, kemasukan pendatang tanpa izin ini
mengancam keselamatan kawasan perumahan memandangkan beberapa kes
pergaduhan berlaku di kalangan mereka disebabkan perbezaan cara hidup yang
menghasilkan konflik.
Mereka sudah membuat laporan polis sejak tiga tahun lalu namun tiada
tindakan diambil oleh pegawai daripada Balai Polis, Jabatan Imigresen dan
Majlis Daerah Sandakan.
|