KOTA KINABALU, November 11, 2014: Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah
(SAPP) akan mengadakan Perhimpunan Aman menuntut laporan Suruhanjaya
Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing Sabah yang siasatannya
dimulakan pada 2012 supaya dipercepatkan.
Ketua Pemuda SAPP Jamain Sarudin dalam kenyataannya hari ini berkata,
Perhimpunan Aman ini akan diadakan pada 16 Nov, 2014 (Ahad) bermula jam
9.00 pagi, dimana peserta akan berkumpul terlebih dahulu di Taman Chong
Thien Vun (bersebelahan Mahkamah) sebelum ke Dataran Deasoka.
Menurut beliau lagi, perhimpunan aman ini bukanlah bertujuan untuk membuat
sebarang kekacauan, tetapi untuk menyuarakan kebimbangan rakyat ekoran
laporan RCI masih belum dibentangkan. “Pihak Kerajaan masih berteka-teki,
dan ini menimbulkan keresahan kepada rakyat Sabah yang menunggu
pembentangannya”
Suruhanjaya Di-Raja telah ditubuhkan sebelum pru13 dan telah memanggil
lebih dari 211 orang saksi untuk memberikan keterangan sehingga ianya
disiapkan pada Sept tahun lalu. Bagaimanapun Setelah siasatan itu
disiapkan, tandatanya terus bermain apabila ianya kekal menjadi misteri.
“Rakyat ingin tahu apakah hasil siasatan pihak suruhanjaya dan juga
syor-syor yang mereka berikan bagi menangani isu pendatang asing tanpa
izin di Sabah yang merupakan suatu ancaman, malahan mereka sangat bimbang
kehadiran Pendatang Bangladesh di Genting Highland, dan kebimbangan
sedemikian seharusnya mereka turut terjemahkan kepada suasana di Sabah
pada masa ini”
Turut menjadi isu ialah kesediaan kerajaan memberikan dokumen sijil
kelahiran kepada anak-anak pendatang asing yang kononnya untuk memudahkan
dokumentasi persekolahan yang dikatakan berlandaskan piagam kanak-kanak
sedunia.
Jamain selanjutnya meminta peserta-peserta supaya mematuhi arahan-arahan
pihak berkuasa semasa perhimpunan diadakan bagi mengelakkan sebarang
kerumitan. Mengelak dari provokasi berunsur perkauman dan keagamaan selain
tidak membawa kanak-kanak pada ketika itu. Beliau berharap program ini
akan disertai oleh pertubuhan-pertubuhan serta Sabahan yang prihatin
berkaitan isu kepentingan RCI kepada Sabah.
|