|
Nazri jejas ekonomi Sabah
KOTA KINABALU, November 24, 2014: Kenyataan Menteri Pelancongan
Persekutuan Datuk Seri Nazri Aziz bahawa beliau hanya 'bercakap
benar' bahawa Sabah tidak selamat untuk dilawati jelas berjaya merosakkan
lagi ekonomi Sabah, terutamanya sektor pelancongan.
"Sementara Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab untuk
keselamatan Sabah, telah gagal untuk melindungi pantai timur Sabah,
Kementerian Pelancongan Persekutuan kini mewujudkan tragedi berganda
kepada Sabah dengan menyiarkan kepada seluruh dunia bahawa Sabah tidak
selamat.
"Malangnya, menteri ini telah menyatakan keraguan yang serius terhadap
keselamatan bukan hanya di Pantai Timur tetapi di seluruh Sabah," kata
bekas Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee.
Yong yang juga presiden Parti Maju Sabah (SAPP) berkata untuk menghadapi
serangan terbuka terhadap kegagalan teruk Menteri Dalam Negeri oleh
Menteri Pelancongan di Parlimen, "perkara terhormat untuk Menteri Dalam
Negeri sekarang ialah meletak jawatan untuk bertanggungjawab terhadap
kegagalan kementeriannya."
Untuk Menteri Pelancongan Persekutuan, beliau turut melakukan kecuaian
tugas dengan menyeru Ketua Polis Negara, Persatuan Ejen Pengembaraan dan
Pelancongan Malaysia dan Menteri Pelancongan Sabah untuk pergi sendiri ke
China dan bertemu dengan media China, katanya.
"Pada dasarnya, menteri ini mengatakan bahawa beliau menolak atau gagal
untuk melaksanakan tugasnya. Oleh itu beliau harus meletak jawatan serta
merta," kata Yong.
"Tetapi apa yang kita saksikan ialah kerajaan persekutuan mengecewakan
Sabah," katanya.
24/11/2014 Harian Ekspres
|