|
Pelancongan Sabah susut 20 peratus selepas kenyataan Nazri
KOTA KINABALU, November 26, 2014: Kerajaan harus mengecualikan Sabah
daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tahun depan memandangkan
kedudukan ekonomi Negeri yang diburukkan lagi oleh kenyataan Menteri
Pelancongan Persekutuan terhadap keselamatan Sabah, baru-baru ini.
Naib Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), Chong Pit Fah berkata, dengan
pemansuhan subsidi minyak, Dasar Kabotaj, sumber minyak dan gas dirampas,
serta kos sara hidup yang tinggi, yang memang sedia menekan ekonomi Sabah,
satu-satunya harapan Negeri ini adalah industry pelancongan, yang
merupakan punca pendapatan utama bagi Sabah.
"Tetapi, hanya kerana kenyataan yang dibuat oleh Datuk Seri Nazri Abdul
Aziz yang mengatakan beliau tidak boleh menjamin keselamatan pelancong
yang datang ke Sabah, seluruh industri ini merosot dalam sekelip mata," katanya.
Chong berkata dalam tempoh kurang seminggu selepas kenyataan Nazri,
perniagaan pelancongan Sabah jatuh sebanyak kira-kira 20 peratus berikutan
pembatalan tempahan.
"Jadi apa harapan kita untuk tahun depan? Melaksanakan GST di Sabah akan
menambah lagi kesusahan Negeri ini dan rakyatnya.
"SAPP menggesa kerajaan mengecualikan Sabah daripada GST untuk
mengurangkan impak negatif daripada Menteri Pelancongan Persekutuan," kata
Chong yang juga ketua penerangan SAPP.
"Sabah sudah banyak berusaha untuk mempromosi keindahan semula jadi negeri
ini melalui eko-pelancongan tetapi siemuanya sia-sia oleh kerana kenyataan
seorang Menteri yang jahil," kata Chong.
Menjawab pertanyaan di Parlimen baru-baru ini, Nazri berkata beliau tidak
akan mengarahkan pegawainya untuk mempromosi pelancongan Sabah kerana
beliau tidak dapat menjamin keselamatan pelancongan sehingga dua kejadian
penculikan diselesaikan.
Tindakannya itu dikecam oleh pihak pelancongan di Sabah termasuk Menteri
Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Masidi Manjun tetapi
Nazri telah pun mempertahankan kenyataannya dengan berkata pengkritiknya
harus membantunya pergi ke China dan mengisytiharkan kepada mereka bahawa
Sabah adalah selamat.
26/11/2014 Harian Ekspres
|