KOTA
KINABALU, Mei 21, 2015: Masanya sudah tiba untuk kerajaan persekutuan
memberi kuasa autonomi kepada kerajaan Sabah, dengan agensi persekutuan,
untuk menjaga keselamatan Sabah.
"Kerajaan persekutuan telah melakukan usaha terbaiknya dan gagal. Sekarang,
beri Sabah peluang," kata Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong
Teck Lee.
Bekas Ketua Menteri itu berkata penculikan rentas-sempadan baru-baru ini
mencetuskan satu lagi pusingan kenyataan kurang munasabah daripada pegawai
tertinggi yang menyebabkan lebih banyak kehilangan keyakinan daripada
penculikan itu sendiri.
Beliau berkata kenyataan-kenyataan itu membuat rakyat berasa kerajaan
tidak dapat mengawal keadaan keselamatan.
"'Haramkan perdagangan tukar barang', 'CCTV tidak jelas', 'masyarakat
harus dipersalahkan', 'disyaki perbuatn orang dalam', 'penculikan berlaku
antara tempoh giliran polis', 'kita tidak mungkin ada bot peronda setiap
100 meter', 'nilai wang tebusan besar bertuntut', 'garis pesisir panjang',
adalah sesetengah respons pegawai keselamatan yang tidak habis-habis
membuat rakyat berasa lucu.
"Daripada melindungi peniaga tukar barang dan pengusaha pusat peranginan,
polis kita mahu ia ditutup," katanya.
Yong berkata Kementerian Dalam Negeri juga menolak cadangan berkali-kali
Ketua Menteri Sabah untuk menyediakan helikopter serang, menyebut lebih
banyak masa diperlukan seolah-olah penculikan Ocean King Sandakan itu
merupakan kejadian pertama.
Beliau berkata, malah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed
menggesa sumber tambahan untuk meningkatkan keselamatan Sabah dan bukannya
membeli pesawat jet eksekutif VIP dengan kos lebih RM300 juta, yang tentu
dapat dilaburkan untuk lebih banyak aset anggota dan logistik, termasuk
helikopter penyerang, bagi anggota keselamatan negeri di darat dan di laut.
"Kita harus ingat bahawa dasar untuk Sabah membentuk Malaysia adalah
keselamatan, dan tanpanya, tidak akan ada keamanan dan kesejahteraan
sosioekonomi.
"Tetapi pemimpin-pemimpin persekutuan nampaknya sibuk dengan permainan dan
kelangsungan politik sehingga hampir tiada antara mereka yang memberi
sebarang perhatian kepada kehilangan keyakinan terhadap soal keselamatan
di Sabah," katanya.
|