|
KOTA
KINABALU, July 2, 2015: Parti Maju Sabah (SAPP)menggesa kerajaan
mengembalikan pajakan tanah 999-tahun yang sewenang-wenangnya dan tanpa
sebab sah dibatalkan atau dikurangkan kepada 99-tahun atau kurang dengan
serta-merta dan tanpa ganti rugi kepada pemilik tanah.
Tindakan undang-undang boleh dimulakan oleh pemilik tanah yang haknya
dengan sewenang-wenangnya dan tanpa sebab sah dilanggar oleh kerajaan,
kata Presiden SAPP, Datuk Seri Yong Teck Lee dan Timbalan Presiden Melanie
Chia dalam satu kenyataan bersama di sini, Selasa.
Mereka berkata, sebelum pilihan raya umum 2013, pemilik tanah di Sandakan,
Kudat dan Lahad Datu membawa kepada perhatian mereka, kes-kes pajakan
tanah 999-tahun mereka dibatalkan dan digantikan dengan pajakan 99-tahun
sahaja yang diundurkan tarikhnya kepada tarikh pengeluaran geran asal.
“Ia menyebabkan SAPP memasukkan dalam manifesto supaya pajakan 999-tahun
dikembalikan,” katanya.
Kes terbaharu melibatkan satu rumah ladang keluarga di Cecily (kawasan
Sekolah Pei Ying) Sandakan yang geran tanah 999-tahunnya berkuat kuasa 12
November 1913, dengan tiba-tiba, tanpa notis dan tanpa sebab sah,
dibatalkan dan digantikan dengan pajakan 99-tahun.
“Malah tidak ada sebarang pembahagian tanah dalam kes ini.”
“Pemilik tanah hanya mendapat tahu mengenai pembatalan pajakan 999-tahun
itu untuk menjadi pajakan 99-tahun apabila geran tanah dipulangkan kepada
mereka selepas pemindahan kepada adik-beradiknya yang mewarisi tanah itu
daripada ibu mereka yang meninggal dunia pada 1989.
“Dari waktu datuk nenek mereka, keluarga tersebut menetap di tanah itu
selama lebih 100 tahun.
“Selepas pemindahan geran tanah daripada harta pusaka mendiang ibu kepada
ahli keluarganya, mengikut perintah Mahkamah Tinggi, geran tanah itu
dipadamkan kata-kata “sembilan ratus dan” meninggalkan kata-kata “Sembilan
puluh sembiTan”, dan bukannya “Sembilan ratus dan sembilan puluh Sembilan
tahun”.
Mereka berkata, tragedi kes itu adalah, daripada mewarisi tanah ladang ibu
mereka, keluarga dimaklumkan oleh Jabatan Tanah dalam satu surat bertarikh
10 September 2013 bahawa pajakan tanah mereka telah luput tarikh, bermakna
mereka kini setinggan di tanah kerajaan.
“Berapa banyak lagi kes belum timbul? Berapa ramai lagi pemilik tanah
dengan pajakan 999-tahun duduk atas bom jangka yang akan ‘meletup
bila-bila masa saja’ apabila mereka mengemukakan geran tanah mereka kepada
Jabatan Tanah untuk sebarang tujuan termasuk pemindahan, cagaran bagi
pinjaman bank atau pembahagian tanah?”
Mereka berkata, jika penyalahgunaan kuasa sembarangan ini untuk
membatalkan pajakan 999-tahun tidak dicabar, maka penyalahgunaan kuasa
sama juga mungkin berlaku kepada pajakan 99-tahun itu yang boleh
dikurangkan menjadi pajakan 60-tahun atau kurang.
“Wakil rakyat dalam kerajaan BN yang memilih untuk menyetujui
penyalahgunaan kuasa seperti itu oleh kerajaan tidak harus kekal dalam zon
selesa mereka. Di masa akan datang, kamu atau keluarga kamu mungkin
mengalami nasib sama. Fikirkanlah kebajikan rakyat, “ kata mereka.
|