|
KOTA
KINABALU, Ogos 10, 2015: Pendidikan tentang status Sabah sebagai rakan
kongsi sama rata dalam pembentukan Persekutuan Malaysia tidak ditonjolkan,
menurut Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP).
Naib Ketua Pemuda SAPP Yong Yit Yoong berkata, dengan Hari Kemerdekaan
Sabah akan datang, ia adalah penting untuk rakyat dididik dan diingatkan
bahawa Sabah pernah menjadi sebuah negara dari 31 Ogos 1963, sebelum
pembentukan Persekutuan Malaysia pada 16 September tahun sama.
"Sabah, Sarawak, Malaya dan Singapura membentuk Persekutuan Malaysia dan
bersetuju dengan Perjanjian
Malaysia 1963 dan semasa memperjuangkan hak sebagai rakan kongsi sama
rata, Singapura ditendang keluar daripada persekutuan itu," katanya semasa
demonstrasi "Black Sunday Spirit of 1963" yang diadakan di Jalan Gaya di
sini pada Ahad.
Beliau mendakwa selama bertahun tahun, status Sabah dan Sarawak sebagai
rakan kongsi sama rata telah berkurang sehingga hanya diiktiraf sebagai
satu daripada 13,negeri di negara ini dan hak rakyat Sabah telah dirampas
oleh Kerajaan Persekutuan.
"Kerajaan Persekutuan harus mula mengira bermula 1963, tahun Persekutuan
Malaysia dibentuk, dan bukannya 1957," katanya sambil menambah setiap
rakyat Malaysia harus dididik tentang bagaimana negara dibentuk.
Sementara
itu, Ketua Pemuda SAPP Jamain Sarudin yang turut hadir, berkata mereka
telah memilih Kundasang sebagai tempat untuk mengadakan perhimpunan Hari
Sabah pada 31 Ogos.
Beliau berkata selain daripada menyambut Hari kemerdekaan Sabah, ia juga
untuk memulihkan keyakinan rakyat bahawa Kundasang selamat untuk
dilawati.
"Ini merupakan permulaan kepada beberapa lagi siri akan datang, untuk
menyalakan keyakinan dalam kalangan rakyat Sabah bahawa kita mampu
bergerak sejajar dengan wilayah lain di negara ini jika Kerajaan
Persekutuan memberikan peluang kepada kita untuk berbuat demikian,"
katanya.
Mereka diiringi oleh kira-kira 30 orang daripada pelbagai pertubuhan bukan
kerajaan serta kumpulan tempatan, membawa kertas putih dengan perkataan
'Black Sunday' dicetak padanya.
Demonstrasi yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tentang Hari
Kemerdekaan Sabah berakhir dengan pergelutan kecil apabila polis cuba
merampas bendera dan sepanduk yang dibawa oleh kumpulan itu, bagaimanapun
tidak ada sesiapa yang cedera dalam insiden itu.
Oleh Sherell Ann Jeffrey
|