|
KOTA KINABALU, Ogos 19, 2015: Parti Maju Sabah (SAPP) menyamakan dakwaan
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi mengenai komplot yang
cuba menggulingkan kerajaan sama seperti dakwaannya pada 2013, di mana
beliau berkata yang beliau akan mendedahkan identiti pemimpin-pemimpin
pembangkang yang didakwa adalah dalang pencerobohan Sulu di Tanduo, Lahad
Datu.
Presidennya Datuk Seri Yong Teck Lee berkata, Zahid yang merupakan Menteri
Pertahanan ketika itu, masih lagi belum menunaikan janjinya untuk
mendedahkan nama-nama pemimpin pembangkang yang didakwanya secara terbuka
adalah dalang di sebalik pencerobohan tersebut.
"Menjelang pengundian awal (pilihan raya umum) oleh anggota keselamatan
pada 27 April 2013, Zahid mendakwa bahawa beliau mempunyai bukti perbuatan
pemimpin pembangkang, dengan salah seorangnya dari Sabah, di sebalik
pencerobohan Sulu.
"Katanya Kementerian (Pertahanan) beliau telah mengenai pasti dalang di
sebalik pencerobohan bersenjata oleh pengganas Sulu dan berkata tindakan
akan diambil terhadap mereka selepas Pilihan Raya Umum," kata Yong dalam
satu kenyataan di sini, Selasa.
Yong meminta menteri itu memenuhi ikrarnya kerana gagal melakukan demikian
akan menambah "deficit "kredibiliti" ke atas pentadbiran beliau.
"Beliau sepatutnya sama ada menamakan tiga individu itu atau menarik balik
tuduhannya dan berjanji tidak akan membuat dakwaan mengarut seumpama itu
untuk tujuan politik," kata beliau.
Menurutnya, "dakwaan mengarut oleh Zahid hanya menyebabkan kekeliruan
kepada anggota keselamatan mengenai ancaman sebenar ke atas keselamatan
Sabah." - Harian Ekspres
|