|
KOTA KINABALU, Ogos 23, 2015: United Sabah Alliance atau Gabungan Sabah
(USA) adalah sebuah organisasi yang menggabungkan parti-parti politik
tempatan Sabah dan NGO Pro-Gabungan Sabahan akan bersama -sama
menganjurkan sambutan kemerdekaan Sabah yang ke-52 atau lebih dikenali
sebagai “SABAH DAY” pada 31 Ogos depan yang akan diadakan di Kundasang,
Sabah. Didalam sebuah kenyataan media oleh Pengerusi pelaksana Sabah Day
Japiril Suhaimin.
Beliau berkata, jawatankuasa pelaksana telah mengadakan beberapa siri
mesyuarat sebelum ini dan berbagai persiapan telah pun diatur bagi
melancarkan seluruh perjalanan program berkenaan. Menurut beliau lagi
sambutan “Sabah Day” yang julung kali diadakan ini bukan sahaja untuk
menampilkan kesepakatan parti dan badan-badan NGO di dalam Gabungan Sabah,
selain itu program ini juga berhasrat untuk memberi jaminan dan keyakinan
kepada pelancong dalam dan luar Negara untuk kembali ke Kundasang sebagai
destinasi pelancongan.
Kundasang dan Ranau merupakan daerah yang telah terjejas teruk diakibatkan
oleh bencana gempa bumi pada 5 Jun lepas dan mengorbankan banyak nyawa
termasuk 4 Malim Gunung dan pendaki dari dalam dan luar Negara. Selepas
itu daerah mengalami lebih 100 kali gegaran dan diikuti dengan lbencana
banjir lumpur dan ini telah mengakibatkan kerosakan harta benda dan tanah
pertanian, serta mengganggu ekonomi masyarakat tempatan dan aktiviti
pelancongan turut merundum.
“Berbagai acara telah disusun, dan dianggarkan lebih 1,000 orang akan
hadir didalam acara ini kelak” kata Japiril ,Selain daripada anggota
Gabungan Sabah yang terdiri dari parti tempatan Sabah dan organisasi
berasaskan politik iaitu STAR, SAPP, PCS, APS dan SAPRIM, lebih dari 20
NGO tempatan Sabah juga menyatakan kesediaan untuk hadir.
Menurutnya lagi parti dan organisasi mengikut kawasan dibahagikan kepada
Zon bagi memudahkan urusan perjalanan kontijen dan konvoi kenderaan yang
dipanggil sebagai Konvoi Spirit of 1963. Persiapan kini diperingkat akhir
bagi Zon Utara merangkumi kawasan Kudat, Pitas, Matunggong, dan Kota
Marudu, Zon Pantai Timur merangkumi kawasan Tawau, Sandakan dan Lahad datu,
Pantai Barat merangkumi kawasan Sipitang, Beaufort, Membakut, Bongawan,
Papar hingga Kota Kinabalu, Pantai Barat Tengah pula merangkumi kawasan
Inanam, Menggatal, Tuaran, Tampauli dan Kota Belud dan Zon Pedalaman yang
merangkumi kawasan seperti Tenom, Keningau dan Tambunan.
Japiril menambah, kempen kesedaran sedang giat dijalankan pada masa kini
dan ianya akan berterusan sehingga 31 Ogos kelak. Antara acara yang telah
disusun ialah Program Berjalan Memperingati Kemerdekaan Sabah di Kota
Marudu pada 28 Ogos dikendalikan oleh Bangkit Anak Negara Sabah (BANSA),
sebuah lagi organisasi Semangat Satu Perjuangan Rakyat (SSPR) akan
menganjurkan program memasang bendera Sabah sepanjang jalan menuju
Kundasang bermula pada 28 hingga 30 Ogos, ianya akan diikuti dengan acara
kemuncaknya pada 31 Ogos iaitu perarakan bendera di Ranau,diikuti dengan
acara Merdeka Walk Pinausok-Kundasang yang akan dikendalikan oleh Jalibin
Paidi Pengerusi SSPR dgn bantuan NGO lain. Jelasnya lagi kesemua kontijen,
Konvoi Spirit Of 1963 dan pejalan kaki ini dijangka tiba di Kundasang pada
sebelah tengahari.
Japiril turut mengalu-alukan kesudian mana-mana individu dan kumpulan yang
ingin turut serta di dalam konvoi ini dan aktiviti berjalan kaki mahupun
memasang bendera.
Acara kemuncak program Sabah Day akan bermula pada jam 1 petang di Pekan
Kundasang, dengan acara kebudayaan, deklamasi puisi dan sebagainya. Antara
pemimpin yang dijangka hadir ialah Pengerusi Gabungan Sabah Datuk Hj Mohd
Noor Mansor , Pengerusi Star Sabah Datuk Dr Jeffery Kitingan, Presiden
SAPP Datuk Yong Teck Lee , Pengerusi Angkatan Perubahan Sabah Datuk
Wilfred Bumburing, Presiden Parti Cinta Sabah Datuk Kalakau Untol,
Pengerusi Saprim Narawi Hj Ahmad, serta pemimpin-pemimpin kanan parti dan
organisasi politik Gabungan.
Dalam hal yang lain, beliau turut menjelaskan bahawa pengajuran Sabah Day
tidak ada kaitan dengan Bersih 4.0, kerana Sabah Day bertujuan untuk
menyemarakan semangat persaudaraan yang menjadi warisan Sabahan sejak
sekian lama selain memperingati kemerdekaan Sabah yang ke-52 Tahun
daripada penjajahan British.
|