Ucapan Ketua Wanita di Persidangan Perwakilan SAPP 2012
Oleh Puan Melanie Chia
Saya ingin mengambil kesempatan ini, untuk mengucapkan selamat datang
kepada dif-dif jemputan dan rakan-rakan dari Parti-Parti Seperjuangan
dan semua perwakilan ke Persidangan Pegerakan Pemuda / Wanita /
Mudanita dan Graduan Kem Belia SAPP 2012.
Persidangan pada tahun ini bukan saja sangat penting kepada SAPP secara
keseluruhannya, malah ianya juga amat mencabar kewibawaan dan semangat
kita setelah menjadi pembangkang sejak SAPP keluar dari BN pada 17
September 2008.
Dalam situasi yang sedang kita hadapi ini, selepas 4 tahun SAPP keluar
dari BN dan selepas pilihanraya kecil Parlimen Batu Sapi, ahli-ahli
SAPP telah diuji dengan pelbagai dugaan yang begitu hebat, dan sebagai
salah satu sayap didalam Parti SAPP, Pergerakan Wanita juga tidak
terkecuali daripada menghadapi ujian dan cabaran ini.
Tahun ini bukan sahaja kita sebagai pejuang-pejuang politik
tertunggu-tunggu akan pengumuman Perdana Menteri Malaysia mengenai
tarikh Pilihanraya ke-13, namun semua rakyat Malaysia, terutamanya
rakyat Sabah, sedang menunggu pengumuman tersebut.
Sememangnya penantian itu satu penyeksaan, kerana bukan sahaja kita,
malahan rakyat jelata juga sudah bersiap sedia dengan keputusan
masing-masing, dan kita percaya mereka juga sudah bersiap sedia membuat
keputusan yang bijak dalam menentukan masa depan rakyat dan negeri
Sabah.
Pilihanraya ke-13 bukan lah satu perkara mudah untuk kita menghadapi
pihak lawan, kerana mereka adalah Kerajaan yang memegang kuasa dan
pentadbiran negeri ini, segala kemudahan dan jentera ada ditangan
mereka, dan BN terutamanya ahli-ahli UMNO, akan berbuat apa sahaja
untuk memastikan calun-calun pembangkang kalah, terutama sekali SAPP,
pasti pihak BN akan menggunakan berbagai-bagai cara, sama ada cara
halus mahu pun kekerasan, yang pasti taktik kotor akan tetap menjadi
pilihan utama mereka, kerana mereka tahu rakyat Malaysia, terutamanya
rakyat Sabah sudah bosan dengan tipu helah dan janji-janji manis yang
biasanya ditaburkan semasa kempen pilihanraya. Saya percaya rakyat
Sabah kita sudah matang dan boleh menilai mana intan dan mana kaca.
Maka untuk memastikan calun-calun SAPP menang disemua kawasan yang kita
akan bertanding, kita hendaklah membuat persiapan yang sangat baik dan
rapi dan berhati-hati dalam menyusun strategi-strategi baru yang lebih
mantap dan berkesan bagi menghadapi BN di pilihanraya ke-13 dan
memastikan kesemua calun-calun SAPP menang dalam pilihanraya ini.
Menyentuh mengenai peranaan dan penglibatan wanita, saya ingin
menegaskan disini bahawa tidak ada siapa boleh menafikan bahawa
penglibatan dan peranaan wanita itu adalah sebagai salah satu sayap
yang penting dalam menjayakan apa juga aktiviti, termasuk lah peranaan
dan penglibatan mereka dalam arena Parti Politik. Jangan perkecilkan
peranaan yang dimainkan oleh wanita, walaupun wanita dianggap sebagai
kaum yang lemah, tetapi tangan yang mengayun buaian, mendodoikan
anak-anak ini, boleh mengoncangkan dunia.
Maka janganlah menganggap bahawa wanita itu hanya sekadar PENGHIAS MEJA,
atau menjadi PELAYAN dimajlis-majlis, tetapi sidang hadirin harus
memahami bahawa dalam menentukan KEJAYAAN dalam sesebuah Parti Politik
itu, untuk mentadbir negeri mahupun negara, PERANAAN dan PENGLIBATAN
wanita itu amat penting kerana jangan lupa bahawa SEPARUH PENDUDUK dan
PENGUNDI dinegara Malaysia amnya dan Sabah khasnya adalah terdiri dari
kaum WANITA, maka ini membuktikan bahawa peranaan wanita itu amat besar
dan sangat penting dalam semua aspek penghidupan.
Peranaan dan tanggungjawab yang dipikul oleh wanita, bukan sahaja
sebagai isteri dan ibu, tetapi juga sebagai pemimpin masyarakat, wanita
juga sanggup berkorban apa sahaja demi negara mahupun keluarganya, dan
ada diantara mereka sanggup memikul tanggungjawab sebagai ibu tunggal,
dimana kebanyakan mereka ditinggalkan tanpa diberikan nafkah, dan rumah
untuk mereka berteduh. Dengan bebanan dan tanggungjawab yang harus
mereka pikul, mereka terpaksa membanting tulang demi satu perjuangan
untuk membesarkan anak-anak.
Baru-baru ini bila terbaca berita sedih yang mengatakan bahawa 88% kaum
wanita telah terlibat dengan peminjam-peminjam termasuklah Along.
Amalan ini bukan lah satu perbuatan yang harus dibanggakan tetapi
kepada kaum wanita yang terlibat, ianya adalah satu desakan hidup
walaupun mengetahui risikonya terlalu besar.
Ini menggambarkan bagaimana kaum wanita berkorban dan memikul
tanggungjawah demi kepentingan keluarga. Bolehlah kita ibaratkan wanita
sebagai sebatang lilin membakar diri untuk menerangi dan memberi
kemanafaatan kepada masyarakat sejagat.
Dalam memperkasakan kaum wanita dan mengiktiraf perjuangan mereka bukan
sahaja menitik beratkan kepentingan keluarga, membentuk masa depan anak
anak, mereka juga turut sama berkecimpung dan memainkan peranan dalam
pembangunan socio ekonomi negara.
Kaum wanita masa kini telah sampai ke satu era perjuangan yang mahu
bersaing dalam apa juga bidang dengan kaum lelaki.
Ternyata kaum wanita telah mengambil tempat dan kedudukan yang
setanding bukan saja didunia luar tetapi juga wanita wanita dinegeri
kita sendiri.
Ramai antara mereka sudah menjadi pemimpin dalam areana politik,
peniaga dan pengusaha berjaya dalam bidang ekonomi, menyandang
jawatan-jawatan penting dalam kerajaan dan swasta dan penyumbang kepada
pembangunan negara.
Harapan saya agar persepsi mengenai wanita harus diubah, dan kita
wanita menyumbang untuk pembangunan negara seiring dengan kaum lelaki
demi untuk masa hadapan masyarakat Malaysia yang progresif dan maju.
Pergerakan Wanita, adalah PENYUMBANG TERBESAR dalam merealisasikan
kejayaaan SAPP, bukan sahaja dari penglibatan mereka tetapi dari faktor
yang disebutkan tadi bahawa setengah penduduk dan pengundi adalah
terdiri dari kaum wanita, tambahan lagi sekarang ini adalah zaman IT,
dimana ramai wanita telah menguasai ICT dan menyedari bahawa ICT adalah
sebagai alat penting dizaman yang serba moden dan mencabar ini, dimana
wanita adalah sebagai penggerak utama yang teguh didalam mana-mana
institusi termasuk juga dalam kejayaan politik.
Wanita bukan hanya sekadar peraih undi semasa pilihanraya, tetapi
wanita juga mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan perjalanan
parti dan negara.
Wanita adalah salah satu sayap parti yang gigih dan haruslah diambil
kira, untuk menyumbang pemikiran, merancang strategi, menggembling
kekuatan serta penyerapan mereka ke dalam semua sektor termasuk lah
politik.
Selaku Ketua wanita, saya mengharapkan dimana peranaan wanita begitu
besar dalam menentukan kemenangan SAPP di pilihanraya ke-13 ini, maka
kita adalah sebagai pengimbang dalam parti, agar SAPP hidup dan terus
kukuh, maka kita akan berkerja lebih keras dan mempertingkatkan usaha
demi untuk membuat perubahan.
Pergerakan politik bukan hanya untuk bertanding di pilihanraya sahaja,
tetapi ia adalah medan untuk membangunkan semua bangsa, dan membina
negara.
Maka dalam situasi serba mencabar ini, kesabaran, ketabahan, perpaduan,
komitmen serta peranaan Pergerakan Wanita sentiasa menjadi tunggak
kekuatan parti, dan jangan dinafikan wanita sebagai kuasa dalam
kejayaan sesaorang pemimpin.
Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, di sini, saya ingin mengambil
kesempatan untuk menyeru kepada semua perwakilan, Pergerakan Wanita,
Pemuda, Mudanita dan Graduan Kem Belia ( GKB ) yang hadir pada hari ini,
agar sentiasa berkerjasama dalam apa juga bidang, bagi mengukuhkan
parti.
Dalam kesempatan ini saya juga ingin mengucapkan penghargaan yang tidak
terhingga kepada pucuk pimpinan parti kerana telah memberikan saya
kepercayaan bagi menerajui Pergerakan Wanita sejak tahun 2006. Di sini
saya juga mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli EXCO Wanita dan
ahli-ahli Pergerakan Wanita atas kerjasama yang diberikan kepada saya
selama ini. Tanpa sokongan padu dari setiap ahli Pergerakan Wanita,
pasti kita tidak mampu untuk melaksanakan agenda Parti.
Maka dengan ini, kuatkan semangat, kukuhkan perpaduan, tingkatkan usaha,
mantapkan kepimpinan dan ingatlah bahawa perjuangan kita belum selasai.
Dan ingatlah tenaga dan penglibatan wanita amat diperlukan.
"Berjuang Untuk Menang" - Jun 3, 2012
More ...[President][Women
Chief][Youth
Leader][GKB
Chief][Mudanita
Chief]
|