Oct 9, 2008 5:21pm: Abdullah Ahmad Badawi akhirnya mengumumkan untuk tidak mempertahankan jawatan
presiden Umno dalam pemilihan parti yang ditangguhkan ke Mac 2009.
Beliau mengumumkan sehari sebelum mesyuarat bahagian parti tersebut
yang dijadual bermula hari ini.
Ahli parlimen Kepala Batas akhirnya akur kepada desakan-desakan yang
diterimanya agar melepaskan jawatan lebih awal daripada pelan
peralihan kuasa yang telah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi (MT)
Umno pada pertengahan Jun 2010.
Semenjak pilihanraya 8 Mac yang menyaksikan BN kehilangan kuasa dua
pertiga di Parlimen dan penguasaan terhadap negeri-negeri Perak,
Selangor Kedah dan Pulau Pinang, Abdullah menerima tekanan daripada
Umno dan parti-parti komponen BN.
Abdullah menerima tamparan hebat apabila SAPP meninggalkan BN.
Kira-kira 60 peratus daripada ahli-ahli Gerakan juga mahukan parti
tersebut meninggalkan BN.
Tekanan yang diberikan kepada perdana menteri bertambah hebat
apabila Anwar Ibrahim berjaya memenangi pilihanraya kecil Permatang
Pauh dengan majoriti yang lebih besar berbanding undi yang diraih
oleh presiden PKR dalam pilihanraya umum lalu.
Walaupun Najib Razak yang bertanggungjawab sebagai pengarah
pilihanraya kecil tersebut dan sering dilihat di Permatang Pauh
untuk berkempen, kesalahan diletakkan di bahu Abdullah seratus
peratus dan nama Najib langsung tidak dikaitkan.
Kekalahan BN dalam pilihanraya kecil itu telah memberikan suntikan
kepada bekas naib presiden Umno, Muhyiddin Yassin untuk mendesak
Abdullah berundur lebih awal daripada pelan peralihan kuasa 2010.
Mampukah Najib?
Najib kini disebut-sebut sebagai bakal pengganti Abdullah sebagai
presiden Umno sekali gus perdana menteri keenam.
Akan tetapi ia masih belum pasti seperti yang dikatakan oleh
Abdullah semalam kerana Najib masih perlu menang sebagai presiden
Umno dalam pemilihan parti tersebut Mac depan.
Namun, mengenali Umno yang tidak demokratik dan sering menggunakan
alasan perpaduan parti untuk tidak mempertandingkan jawatan
tertinggi terutamanya presiden dan timbalannya, peluang Najib untuk
menaiki takhta dilihat cerah.
Persolan yang harus difikirkan oleh Umno dan BN pada ketika ini
ialah, mampukah anak perdana menteri kedua itu memikul tanggungjawab
untuk mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN?
Kepimpinan Abdullah yang diregukan bersama Najib dihukum oleh rakyat
dalam pilihanraya umum lalu kerana gagal menunaikan janji-janji
untuk melaksanakan reformasi terhadap sistem kehakiman,
mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap polis, memerangi rasuah
dan membuka ruang demokrasi.
BN menang besar dalam pilihanraya 2004 kerana rakyat mengharapkan
Abdullah melaksanakan reformasi dalam pentadbiran kerajaan setelah
hidup selama 22 tahun bawah pemerintahan autokratik Dr Mahathir
Mohamad.
Setelah sepenggal pemerintahannya, Abdullah gagal melaksanakan
reformasi, lantan rakyat menolak BN.
Jika pilihanraya umum tersebut berjalan secara telus, bebas dan adil,
sudah pasti BN menjadi sejarah.
Era kuku besi dan 'momok Altantuya'
Ramai penganalisa politik menjangkakan bahawa Najib akan
mengembalikan Malaysia ke era pemerintahan Dr Mahathir apabila hanya
sedikit ruang kebebasan yang dapat dikecapi hari ini akan dirampas
kembali.
Analisis begini timbul kerana Najib dilihat sebagai penyambung
legasi pemerintahan Dr Mahathir yang pernah menyaksikan tragedi
Memali, Operasi Lalang, skandal kewangan dan pembungkaman media arus
perdana.
Ramai penganalisis percaya bahawa Dr Mahathir akan memainkan peranan
penting dalam pentadbiran kerajaan sewaktu Najib menjadi perdana
menteri.
Telah timbul juga cakap-cakap mengenai bekas perdana menteri itu
akan dilantik menjadi penasihat kerajaan selepas Abdullah melepaskan
jawatan secara rasminya pada Mac tahun hadapan.
Selain dilihat sebagai pemimpin yang bakal mengambil tindakan keras,
najib juga dihantui kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu dalam
perjalanannya ke Seri Perdana.
Baik di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat antarabangsa,
persepsi tidak dapat diubah bahawa timbalan perdana menteri itu
tercemar dengan imej pembunuhan kejam wanita Mongolia yang sekarang
ini masih lagi dibicarakan dimahkamah.
Sumpah yang dilafazkan oleh Najib sewaktu kempen pilihanraya kecil
di Permatang Pauh bahawa beliau tidak mengenali Altantuya dan tidak
tahu-menahu mengenai kes pembunuhan kejam itu masih tidak dapat
meyakinkan rakyat. Keputusan pilihanraya kecil Permatang Pauh itu
boleh dijadikan sebagai bukti.
Ke mana reformasi Abdullah?
Antara perkara yang paling memeningkan kepala Abdullah menjelang
saat-saat akhir pemerintahannya ialah, bagaimanakah rakyat Malaysia
mengingatinya pada masa akan datang?
Tunku Abdul Rahman dikenang sebagai Bapa Kemerdekaan Negara. Abdul
Razak pula adalah Bapa Pembangunan Malaysia. Hussein Onn dilihat
sebagai Bapa Penyatuan Malaysia dan Dr Mahathir diingati sebagai
Bapa Pemodenan Malaysia.
Apakah gelaran rakyat terhadap Abdullah? Buat masa ini masih belum
ada gelaran yang sesuai selain bapa mertua Khairy Jamaluddin.
Sebab itulah Abdullah kini akan berusaha keras untuk melaksanakan
Reformasi yang pernah dijanjikan olehnya sebelum meletak jawatan
secara rasmi.
Tiga langkah akan dilaksanakan oleh beliau sebelum berundur:
Memperkukuhkan
institusi negara dengan melibatkan penubuhan tiga buah suruhanjaya
yang berkaitan pelantikan hakim, pencegahan rasuah dan agensi
penguatkuasaan.
Inisiatif
kedua, memperkukuh dan memperluas jaringan keselamatan sosial kerana
kekayaan dan hasil kemakmuran negara perlu diagihkan secara adil ke
serata negara.
Kerajaan
dan BN memperbaharui komitmen mereka terhadap usaha mewujudkan
sebuah negara yang bersatu dan harmoni.
Mampukah Abdullah melaksanakan perubahan yang besar tersebut dalam
masa enam bulan?
Jika sepanjang tempoh empat tahun sejak 2004 perkara-perkara di atas
gagal terlaksana, apakah tempoh enam bulan akan menyaksikan
perubahan yang mendadak tersebut?
Mampukah Abdullah berhadapan dengan Umno yang jelas menolak
reformasi beliau daripada dilaksanakan di Malaysia? |