Parti Maju Sabah (SAPP) membidas
keputusan Majlis Daerah Keningau
KOTA KINABALU, Nov 3,
2008:
Parti Maju Sabah (SAPP) membidas keputusan Majlis Daerah Keningau (MDK)
menswastakan kutipan letak kereta di pekan tersebut kerana tindakan
itu sama seperti mencekik leher rakyat yang kini diulit dengan
masalah kemerosotan ekonomi.
Ketua Penerangan SAPP Chong Pit Fah berkata, MDK tidak seharusnya
bertindak terburu-buru dengan membuat tindakan sedemikain kerana
rakyat akan dikejutkan dengan beban baru dalam masa kos hidup yang
semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
“Parti SAPP sama sekali tidak bersetuju dengan penswastaan itu
kerana tindakan sedemikian bukan sahaja menyusahkan rakyat tetapi
dilihat seolah-olah tidak memberi pendapatan yang memusakan kepada
MDK.
“Rakyat tidak sepatutnya diberi bebanan tambahan lebih-lebih lagi
ekonomi di daerah Keningau tidak lagi sebaik dulu,” katanya dalam
satu kenyataan mengulas keputusan MDK menswastakan kutipan letak
kereta di daerah itu.
Pegawai daerah Keningau Haji Zulkifli Nasir telah dilaporkan sebagai
berkata bahawa kutipan letak kereta di daerah itu akan bermula pada
3 Novemver ini setelah sebuah syarikat baru dilantik menggantikan
syarikat lama.
Zulkifli berkata, penswastaan itu merupakan sebahagian daripada
usaha MDK untuk meningkatkan system penyampaian supaya dapat
dinaiktraf sebagai sebuah majlis bandaran satu hari nanti.
Katanya, penswastaan itu juga untuk memastikan undang-undang kecil
letak kereta dipatuhi kira-kira 10, 000 buah kenderaan yang keluar
masuk daerah itu disamping memperbaiki system pengurusan kutipan
untuk kebaikan MDK dan syarikat swsata itu.
Beliau berkata, syarikat swasta baru itu juga akan menyediakan 3,
000 buah petak letak kereta tambahan di pekan itu.
Chong seterusnya berkata, daerah Keningau tidak lagi mengecapi
suasana ekonomi baik seperti dahulu apabila sektor pembalakan yang
menjadi nadi utama di pekan itu sudah merosot dan menyebabkan
pendapatan rakyat semakin kurang.
Katanya, rakyat di daerah itu semakin tertekan kerana harga minyak
kelapa sawit dan getah yang menjadi sumber pendapatan baru semakin
rendah sekaligus menyebabkan kemiskinan meningkat.
Beliau berkata, MDK perlu memberi penjelasan terperinci tentang
tindakannya melantik syarikat baru menggantikan syarikat lama dan
sebab utama kontrak syarikat lama itu diberhentikan selain daripada
dikatakan memberhentikan kutipan selama setahun.
Katanya, MDK harus menjelaskan samada mereka telah mendapat
kelulusan daripada Jabatan Ketua Menteri tentang tindakan itu.
Chong seterusnya berkata, MDK perlu telus dengan mengemukakan
butiran lengkap perbandingan jumlah pendapatan sebenar jika kutipan
letak kereta itu diswastakan dan sebaliknya. |