|
Angkatan Muda Keadilan (AMK)
kesal dengan keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) yang didakwanya
mengambil keputusan menutup siasatan skandal pembelian Eurocopter tanpa
sebarang penemuan yang munasabah.
Pengerusi PAC, Datuk Seri Azmi Khalid dilaporkan sebagai berkata tiada
sebarang penyelewengan dari segi prosedur dalam pembelian helikopter
Eurocopter tersebut .
Azmi juga dilaporkan berkata, penilaian dari segi teknikal dan kewangan
pembelian 12 helikopter itu yang keseluruhan berharga RM1.604 bilion
termasuk pakej ofset adalah mengikut piawaian antarabangsa.
"Kenyataan
ini adalah sesuatu yang mengecewakan dalam keadaan harga tersebut adalah
jauh berbeza dengan jumlah yang dibelanjakan oleh negara-negara seperti
India dan Brazil yang boleh membeli lebih daripada 50 helikopter yang sama
pada kadar RM1 billion," kata Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin.
"AMK juga kesal apabila PAC sekadar 'kurang senang' dek kerana tiada
penilaian fizikal dilakukan terhadap helikopter yang bakal dibeli sebelum
kerajaan membuat sebarang keputusan.
"Sewajarnya, dalam sebarang pembelian aset, pandu uji perlu dilaksanakan
agar ianya dijamin selamat dan tidak membahayakan kepada pengguna,
khususnya senjata dan juga pengangkutan.
'Gagal main peranan'
"Dalam konteks profesionalisme urusniaga, sebarang pembelian barangan
khususnya aset seumpama ini perlu diuji cuba terlebih dahulu, bukannya
sekadar melihat spesifikasi melalui dokumen dan terus meluluskan tanpa
sebarang tindakan susulan," tambah Shamsul.
AMK, tambahnya, melihat bahawa PAC telah gagal memainkan peranannya untuk
memanggil Datuk Seri Najib Tun Razak selaku mantan Menteri Pertahanan yang
bertanggungjawab meluluskan pembelian berkenaan.
Sebaliknya, tegas Shamsul, hanya membuat penilaian berdasarkan laporan
daripada Kementerian Pertahanan yang didakwanya, pasti telah diatur dan
disusun supaya 'cantik dipandang dan sedap didengar'.
Apa yang menghairankan, dakwa beliau, sebarang kes yang mengaitkan Najib
akan 'disenyapkan' oleh pihak berkenaan.
"Apakah ini satu pelan terancang untuk menyembunyikan kekotoran yang boleh
memalitkan imej Najib yang begitu bersemangat untuk dinobatkan sebagai
perdana menteri menjelang Mac 2009?" soalnya.
AMK, tambahnya, kekal konsisten dengan kenyataan terdahulu bahawa Badan
Pencegah Rasush (BPR) perlu meneruskan siasatan meskipun PAC menetapkan
tidak ada apa yang berlaku di sebaliknya. |