Semua pihak jaga kebersihan kampung,
kata Melanie
KOTA KINABALU (3rd November, 2008): Semua pihak termasuk penduduk kampung di sekitar
bandaraya diminta bekerjasama menjaga kebersihan dan keceriaan
kampung bagi menjadikan kampung mereka ‘Zon Tanpa Sampah’.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Luyang Melanie Chia berkata,
kerjasama atau gotong-royong membersihkan persekitaran kampung bukan
sahaja menjadikan kampung itu ‘tanpa sampah’ tetapi sekali gus
menghindari pelbagai penyakit.
“Penduduk kampung harus mempunyai kesedaran sivik untuk menjaga
kebersihan. Begitu juga dengan ibu bapa, mereka seharusanya mendidik
anak mereka supaya sentiasa menjaga kebersihan di dalam dan luar
rumah.
“Saya berharap usaha penduduk kampung Kopungit mengadakan
gotong-royong untuk mewujudkan kampung tanpa sampah akan menjadi
kenyataan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Gotong-royong
Wajib Pertama untuk mewujudkan Kampung Kopungit sebagai Zon Tanpa
Sampah, di kampung itu, di sini, kelmarin.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK Joannes Solidau,
Pengerusi Penganjur Program merangkap Pengarah Jabatan Penyelidikan
dan Koordinasi DBKK Junainah Abbie, Pengerusi Jawatankuasa
Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kg.Kopungit Peter Aloysius,
Ketua Kampung Kopungit, Kiun Solidau, dan penduduk kampung Kopungit
Blok A, B, C dan D.
Gotong-royong itu disertai seramai 260 penduduk kampung, anjuran
bersama Bahagian Local Agenda 21, Jabatan Penyelidikan dan
Koordinasi, DBKK serta JKKK Kampung Kopungit.
Melanie berharap program seumpama itu akan membantu penduduk Kampung
Kopungit mencapai hasrat mereka untuk mendapat pengisytiharan
sebagai Kampung Tanpa Sampah yang kedua selepas Kampung Cenderamata
II, Likas.
Sementara itu, Joannes dalam taklimatnya berkata, DBKK giat
menjalankan kempen besar-besaran anti kutu sampah, untuk mengajak
semua orang berhenti membuang sampah di merata-rata tempat
seterusnya menjadikan bandaraya tanpa sampah.
“Salah satu usaha untuk mencapai hasrat ini ialah DBKK akan cuba
mewujudkan zon-zon tanpa sampah di seluruh kawasan bandaraya
termasuk Kg. Kopungit selepas Kampung Cenderamata II Likas.
“Bagi menjayakan rancangan ini penduduk Kg. Kopungit wajib memungut
sampah dan membersihkan kawasan persekitaran tempat tinggal,
menasihatkan anak-anak dan seluruh ahli keluarga di rumah supaya
berhenti membuang sampah di merata-rata tempat,” katanya.
Katanya lagi, dalam pada itu pemantauan kebersihan Kg. Kopungit akan
dibuat bagi memastikan serta mengekalkan kebersihan sekitar kampung
berkenaan.
“Program Gotong-royong ini sebenarnya banyak memberi faedah kepada
penduduk Kampung Kopungit. Ia bukan sahaja menjadikan persekitaran
kampung dan rumah mereka bersih dan indah tetapi juga akan
mewujudkan persekitaran yang sihat.
“Persekitaran yang sihat adalah bebas daripada binatang dan serangga
pembawa penyakit seperti tikus, nyamuk, lalat dan lipas.
“Oleh itu saya berharap penduduk kampung mengekalkan kebersihan
untuk mewujudkan persekitaran yang sihat sekali gus mengurangkan
bahaya dan risiko jangkitan penyakit,” katanya.
Joannes berkata, DBKK akan terus berkempen ke arah menjadikan Kota
Kinabalu Bandaraya Tanpa Sampah.
|