(Oct 31, 08 7:31pm): Dr
Shaariibuu Setev, bapa wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu, kecewa dengan
keputusan Mahkamah Tinggi yang membebaskan penganalisis Abdul Razak
Abdullah Baginda daripada pertuduhan bersubahat membunuh anaknya.
Bagaimanapun, Shaariibuu berkata beliau dan anggota keluarganya menerima
keputusan berkenaan kerana hakim, yang membuat keputusan itu, telah
mempertimbangkan semua alasan dan keterangan yang dikemukakan kepada
mahkamah.
Beliau
turut bertanya mengapa Abdul Razak, yang mengenali anak perempuannya
dibebaskan tetapi dua anggota polis yang tidak dikenali anaknya,
diperintah membela diri, demikian menurut laporan Bernama.
Ditanya wartawan sama ada beliau menjangkakan Abdul Razak akan dibebaskan,
Shaariibuu berkata beliau sangat kesal dengan nasib yang menimpa anaknya
dan menyangka anaknya akan mendapat keadilan di Malaysia.
Mengenai sama ada keputusan Mahkamah Tinggi itu akan memberi kesan kepada
sistem kehakiman di Malaysia, beliau berkata dunia mengikuti perkembangan
kes anaknya dan beliau percaya keputusan itu, sedikit sebanyak, akan
memberi kesan kepada kehakiman Malaysia.
Shaariibuu berkata beliau enggan mengulas banyak mengenai keputusan
berkenaan kerana tidak mahu campur tangan dalam kehakiman Malaysia, tetapi
akan berunding dengan peguamnya berhubung tindakan selanjutnya.
Beliau bercakap kepada wartawan dalam bahasa Mongolia, yang diterjemahkan
ke dalam bahasa Inggeris oleh setiusaha kedua Kedutaan Mongolia di
Thailand, Siizkhuu Sainbileg.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin hari ini membebas dan
melepaskan Abdul Razak tanpa dipanggil membela diri terhadap pertuduhan
bersubahat membunuh wanita Mongolia itu.
Tindakan lanjut
Namun dua anggota polis yang menghadapi pertuduhan membunuh Altantuya,
diperintah membela diri. Mahkamah menetapkan 10 November ini bagi Cif
Inspektor Azilah Hadri, 32, dan Koperal Sirul Azhar Umar, 36, daripada
Unit Tindakan Khas (UTK), untuk membela diri.
Azilah dan Sirul Azhar menghadapi pertuduhan membunuh Altantuya, 28, di
satu lokasi antara lot 12843 dan lot 16735 di Mukim Bukit Raja di Shah
Alam antara 10 malam, 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.
Abdul Razak, 48, pengarah eksekutif Pusat Penyelidikan Strategik Malaysia,
dituduh bersubahat dalam pembunuhan Altantuya, di Wilayah Persekutuan
Kuala Lumpur antara 9.54 pagi 18 Oktober dan 9.45 pagi 19 Oktober 2006.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman mati mandatori.
Peguam Karpal Singh, yang menjadi peguam pemerhati bagi keluarga Altantuya,
semasa ditanya mengenai tindakan selanjutnya selepas keputusan pembebasan
Abdul Razak, berkata beliau akan menulis surat ke Jabatan Peguam Negara
memohon pendakwaan memfailkan rayuan terhadap keputusan itu.
Katanya pembebasan Abdul Razak belum muktamad kerana pendakwaan boleh
memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwaraya Tun Abdul Majid Tun Hamzah, yang
mengetuai barisan pendakwaan, beliau akan berbincang dengan Peguam Negara
sama ada mengemukakan rayuan terhadap pembebasan Abdul Razak.
Tun Abdul Majid berkata pendakwaan akan mempertimbangkan untuk memfailkan
rayuan selepas meneliti penghakiman.
"Kami mempunyai 14 hari untuk memfailkan rayuan tetapi kami perlu menunggu
arahan Peguam Negara," katanya, sambil menambah kata bahawa pihak
pendakwaan telah melaksanakan tugas secara teliti bagi membuktikan kes.
|