Akhbar Mingguan Malaysia didakwa telah
memanipulasi kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa
beliau tidak bersetuju dengan tindakan kerajaan Selangor melantik Low Siew
Moi sebagai pemangku Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS).
"Akhbar Mingguan Malaysia hari ini (semalam) dengan cara yang
paling tidak bertanggungjawab dan tidak profesional telah memanipulasi
kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi berkenaan pelantikan Low
sebagai Pemangku Pengurus Besar PKNS," lapor laman akhbar rasmi PAS
Harakahdaily.net semalam.
Akhbar
itu melaporkan Abdul Hadi berkata, sebagai sebuah negeri yang majoriti
penduduknya orang Melayu dan beragama Islam, sistem pentadbiran sepatutnya
diterajui oleh kaum tersebut.
Mingguan Malaysia memetik Abdul Hadi berkata demikian dalam satu
sidang akhbar di Kemaman, Terengganu kelmarin.
Menurut akhbar itu lagi, Hadi berkata akan meminta penjelasan Parti
Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berhubung pelantikan Siew Moi itu.
Beliau juga dilaporkan berkata, secara umumnya pemerintahan dan
pentadbiran negeri mestilah diterajui oleh orang Melayu yang beragama
Islam.
Mengulas laporan tersebut, Harakahdaily.net meminta seluruh
rakyat Malaysia "menilai laporan yang disiarkan akhbar itu dan mengambil
tindakan sewajarnya" kerana mendakwa Utusan Malaysia "telah berkali-kali
melakukan perbuatan melaporkan berita secara tidak wajar".
Persatuan bantah
Harakahdaily.net turut memuatkan transkrip penuh sidang akhbar di
Kemaman kelmarin selepas merasmikan majlis Ijtimak Kepimpinan PAS
Terengganu.
Menurut transkrip itu, Abdul Hadi, ketika ditanya berulang kali
pendiriannya berhubung perlantikan Low itu berkata beliau "kena dengar
keputusan Selangor dulu" kerana baru balik daripada luar negara dan "belum
mendapat maklumat" berhubung perkara itu.
Beliau juga enggan mengulas isu pemansuhan ekuiti pemilikan 30 peratus
bumiputera.
Bagaimanapun ketika diminta memberi komen secara umum sama ada seseorang
itu tidak dapat diterima perlantikannya ke jawatan tersebut disebabkan
tidak beragama Islam, beliau berkata:
"Sekarang.. semua pihak telah menerima sama ada PKR ataupun DAP, teras
pemerintahan dan pentadbiran negara mestilah orang Melayu Islam... sudah
diterima.. dalam masa yang sama tidak menafikan peranan semua kaum yang
ada dalam negara ini...itu asas umum," katanya.
Isnin lalu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
mengumumkan perlantikan Low sebagai pemangku pengurus besar sementara PKNS
untuk tempoh setahun.
Low mengambil alih tugas Datuk Harun Salim yang akan bersara hujung bulan
ini.
Keputusan Abdul Khalid itu dibantah enam persatuan kakitangan PKNS yang
menyerahkan memorandum kepada Abdul Khalid dan mendesaknya menarik balik
pelantikan Low.
Berikutan itu, kerajaan negeri Selangor telah menubuhkan sebuah
jawatankuasa untuk mencari calon bumiputera untuk mengisi jawatan tersebut.
Semalam, lebih 30 ahli Umno bahagian Kajang dilaporkan mengadakan
demonstrasi di pintu masuk Plaza Tol Kajang membantah tindakan menteri
besar itu. |