Jawapan perdana menteri
berhubung kegagalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menentukan kesahihan
status lebih 11,000 pemilih yang menggunakan kad pengenalan lama "tidak
masuk akal", kata ahli parlimen Kuantan, Fuziah Salleh.
Tambahnya, SPR sudah mempunyai satu sistem perisian canggih seperti
SPINTRA untuk memastikan kesahihan nama dalam daftar pemilih dan
pilihanraya dijalankan dengan telus, adil dan bebas kerana belanjawan
besar diperuntukkan untuk itu dalam Bajet 2009.
Fuziah membidas penjelasan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi terhadap
soalan lisannya semalam.
Perdana menteri berkata "status dan perkembangan mengenai 11,842 pemilih (tercatat
dalam daftar pemilih 2004) yang menggunakan kad pengenalan lama yang belum
dapat dikesan sehingga kini."
Wakil rakyat PKR itu mendakwa terdapat bukti kukuh di kawasan parlimennya
yang "menunjukkan SPR telah melakukan penipuan daftar pemilih".
"Beberapa kes yang melibatkan pemilih yang berumur lebih 100 tahun dan
yang telah meninggal dunia telah dikeluarkan daripada daftar pemilih
sewaktu pembersihan daftar pemilih hujung tahun 2006, akan tetapi nama
pemilih tersebut telah dimasukkan semula ke dalam daftar pemilih yang
digunapakai dalam pilihanraya umum ke-12 Mac lalu," katanya.
"Kad pengenalan baru diwujudkan (direka) seolah-olah si mati (nama pada
daftar pemilih) lahir pada 1985, sedangkan berdasarkan kad pengenalan
lama, beliau lahir pada 1885," tambahnya.
Ahli parlimen itu mempersoalkan peruntukan kerajaan kepada SPR sedangkan,
menurutnya, ia masih belum dapat menjamin ketelusan pilihanraya.
"Saya menyeru agar integriti SPR dikembalikan supaya dapat bertindak
sebagai badan yang bebas, dan bukan lagi menjadi boneka Barisan Nasional
dengan mengorbankan harapan seluruh rakyat Malaysia dalam memacu masa
depan Negara," kata Fuziah. |